Sumber Gambar: Stadium Astro

Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee mahu membawa pemain terbaik bagi menghadapi kejohanan Piala AFF Bawah 22 Tahun di Kemboja bulan hadapan.

Menurut Kim Swee, beliau mahu menggunakan pentas Piala AFF sebagai medan untuk menilai sekaligus memilih pemain terbaik sebelum beraksi di Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020, yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 26 Mac ini.

“Memang saya harap semua pemain (terbaik) dapat ke pertandingan AFF. Ia begitu penting kerana dua minggu selepas pertandingan itu, kita akan beraksi di pertandingan AFC.

“Tetapi, saya juga harus fikir mengenai mereka yang terbabit dengan liga termasuk pemain JDT yang akan beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia.

“Jadi saya kena buat pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan siapa yang akan dipanggil,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ketika di Bangkok, anak buah Kim Swee mengharungi tiga aksi persahabatan yang berkesudahan dengan tiga kekalahan, bermula kalah 0-2 kepada BH Pathum United, Army United (1-3) dan Ayutthaya United (5-7).

Tambah Kim Swee, banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh para pemain yang menyertai latihan pusat di Thailand sebelum beraksi dalam saingan Piala AFF nanti.

“Kalau ikutkan statistik, boleh katakan hanya separuh daripada mereka yang ke Bangkok mencapai prestasi memuaskan.

“Secara keseluruhan, walaupun ada peningkatan tetapi saya tetap tidak berpuas hati kerana pemain mempamerkan aksi tidak konsisten.

“Sebab itu Kejuaraan AF begitu penting untuk saya mengumpulkan barisan terbaik untuk menilai kekuatan sebenar pasukan,” tambahnya.

Pada saingan AFC Bawah 23 Tahun 2018 di China, skuad bawah 23 tahun negara mencipta sejarah apabila mara ke peringkat suku akhir buat pertama kali dalam sejarah kejohanan.

Namun, skuad kendalian Datuk Ong tewas kepada pasukan Korea Selatan di peringkat suku akhir.

Baca Juga: MFL Sediakan Statistik Untuk Saingan Liga Malaysia Musim 2019

Leave a Reply