Sumber Gambar: Terengganu FC

Pemain tengah pasukan Terengganu FC, Lee Andrew Tuck masih setia menunggu khabar dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai status pemain itu dalam saingan Liga Malaysia.

Lee Tuck menegaskan beliau tidak akan mengubah fikiran dan terus menunggu lampu hijau daripada FAM sekiranya mereka masih berminat untuk menggunakan khidmatnya untuk beraksi bersama Harimau Malaya.

“Minat dan keinginan saya untuk menjadi sebahagian daripada pemain Malaysia tetap membara. Kini saya masih menunggu khabar dari FAM kerana setakat ini belum ada perkhabaran yang boleh saya maklumkan.

“Bagaimanapun saya berharap dan meminta semuanya akan berjalan lancar sama ada daripada pihak FAM ataupun saya sendiri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Sebelum ini FAM memaklumkan akan mengadakan perbincangan berhubung pendaftaran Tuck sebagai pemain tempatan dalam mesyuarat skuad kebangsaan bulan ini.

FAM menyatakan status Tuck berbeza dengan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh kerana pemain tengah Terengganu FC itu ada pertalian darah dengan Malaysia kerana neneknya berasal dari negara ini dan prosesnya menjadi lebih mudah.

Namun, sehingga saat ini keputusan sama ada pemain kelahiran England itu bakal mengikut jejak pemain yang sudah menjadi pemain tempatan seperti pemain Perak, Brendan Gan, Matthew Davies ( Pahang) dan Adik-beradik Insa (Johor Darul Ta’zim) masih menjadi tanda tanya.

Selain berminat untuk mendaftarkan Lee Tuck sebagai pemain tempatan, FAM dikatakan juga berminat untuk mendaftarkan penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan bekas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi.

Liridon kini berada dalam negara dan beliau dikaitkan dengan pasukan Melaka United. Jika Liridon sah beraksi bersama Melaka, maka tahun hadapan pemain berusia 26 tahun ini sudah boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan kerana sudah lima tahun beraksi di negara ini.

Baca Juga: Buktikan Kalau Betul Ada Penaja

Leave a Reply