Sumber Gambar: Perak TBG

Naib juara Liga Super musim lalu, Perak berazam mahu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri pada perlawanan peringkat kelayakkan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 dengan menentang pasukan dari Hong Kong, Kitchee FC.

Pengendali pasukan, Mehmet Durakovic menegaskan, pemainnya perlu berazam tinggi bagi memastikan pasukan mencatat kemenangan sekaligus mara ke pusingan ketiga, yang menyaksikan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai menanti skuad The Bos Gaurus.

Jika melepasi dua pusingan awal itu, juara Piala Malaysia 2018 itu layak ke pusingan akhir yang akan menyaksikan Perak berada dalam Kumpulan H, bersama Sydney FC (Australia), Kawasaki Frontale (Jepun) dan Shanghai SIPG (China).

“Kemenangan ke atas Kitchee amat penting untuk mengatur strategi pada pusingan berikutnya. Saya percaya ia suatu pengalaman baharu buat pemain.

“Jadi kami perlu gunakan kesempatan beraksi di depan penyokong sendiri yang saya yakin akan membanjiri stadium nanti. Bukan mudah untuk menewaskan Kitchee, apatah lagi liga di negara mereka ketika ini sedang rancak berjalan.

“Mereka pasti berada pada prestasi terbaik, sedangkan kita baru hendak memulakan saingan liga tempatan.

“Apapun, amat penting untuk kami menempuh pra musim ini dengan baik sebelum aksi pertama menentang JDT dalam Piala Sumbangsih (2 Februari) di Johor,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Bekas jurulatih Selangor itu mengakui gembira dengan komitmen, disiplin dan prestasi yang ditunjukkan pasukannya sepanjang pra musim ini.

Bagi menghadapi saingan musim 2019, Mehmet memutuskan beliau hanya menggunakan khidmat empat pemain import dan mahu memberikan lebih peluang kepada pemain muda pasukan untuk tampil dalam kesebelasan utama.

Empat pemain import yang dimaksudkan ialah Zac Anderson serta tiga pemain daripada skuad musim lalu iaitu Wander Luiz, Gilmar Da Silva dan Leandro Dos Santos.

Selain itu, juara Piala Malaysia 2018 ini turut membawa masuk penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi secara pinjaman daripada pasukan adik, PKNP FC sehingga hujung musim ini serta bekas pemain sayap Terengganu FC, J.Partiban.

Baca Juga: Pasukan Perak Gunakan Empat Pemain Import

Leave a Reply