Sumber Gambar: http://rizalhashim.blogspot.com

Bekas pemain skuad kebangsaan, Syed Ahmad Syed Abu Bakar berpendapat gaji tinggi yang diterima oleh pemain dalam saingan Liga Malaysia tidak setanding dengan kualiti yang ditampilkan di atas padang.

Menurut Syed Ahmad, persatuan bola sepak perlu lebih bijak dan tidak terlalu ghairah memberi gaji yang tinggi kepada pemain di mana pada akhirnya memakan diri apabila tidak dapat membayar gaji yang tertera di dalam kontrak.

Syed Ahmad memberitahu, ketika zamannya yang pernah mewakili Johor, Pulau Pinang dan Perak, dia hanya memperoleh elaun sekitar RM10 setiap perlawanan. Malah pemain yang me­nerima gaji sebesar RM1,000 pada masa itu dikira sudah cukup tinggi.

“Tapi cuba lihat bagaimana mutu permainan pemain pada masa itu khususnya apabila ber­aksi untuk skuad kebangsaan. Zaman sekarang, gaji sahaja tinggi tetapi tidak ke mana.

“Saya nasihatkan persatuan apabila menawarkan gaji, berilah yang setimpal dengan kemampuan. Buat apa tawar tinggi jika akhirnya terpaksa berhutang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, terdapat beberaa pihak yang mempunyai pandangan berbeza mengenai pemberian gaji yang tinggi kepada pemain. Antaranya ialah pengurus pa­sukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid. Menurut Mahfizul, menawarkan gaji tinggi untuk mendapat khidmat pemain bertaraf bintang adalah lumrah dalam era bola sepak moden.

“Biasanya banyak perkara dipertimbangkan. Pertama, pemain yang dimahukan mesti menepati cara dan strategi jurulatih, selepas semua pihak bersetuju, kami akan berusaha mendapatkan pemain tersebut.

“Kita meletakkan penanda aras berdasarkan kadar pasaran semasa. Kami juga perlu melihat sumbangan pemain itu kepada pasukannya sebelum ini.

“Selepas itu, kita lihat harga yang diberikan setanding atau tidak. Kami berunding kepada harga yang kami mampu,” kata Mahfizul.

Tidak dinafikan pemberian gaji yang tinggi kepada pemain menyumbang kepada masalah tunggakan gaji yang sedang dihadapi oleh beberapa pasukan dalam Liga Malaysia ketika ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu segera mencari kaedah yang berkesan untuk memastikan isu tunggakan gaji boleh dikurangkan pada masa hadapan.

Baca Juga: FAM Gantung Penyertaan Pasukan ‘Bermasalah’

Leave a Reply