Sumber Gambar: NST

Pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia perlu memantapkan ilmu pemasaran mereka bagi memudahkan urusan untuk menarik penaja bagi menaja pasukan mereka.

Sikap sesetengah pengurusan pasukan yang memandang ringan mengenai pentingnya pemasaran yang mantap serta tidak profesional menjadi punca kerisauan para penaja untuk tampil menghulur tajaan bagi membantu pasukan.

Menurut laporan Berita Harian., seorang wakil penaja yang kini aktif menaja pasukan dalam Liga Malaysia mendedahkan banyak pasukan tidak memikirkan mengenai nilai komersial.

“Banyak pasukan tidak memikirkan soal komersial sebaliknya lebih tertumpu kepada siapa pemain yang mereka mahu ambil. Daripada segi hubungan dengan penyokong, pasukan tempatan masih terkebelakang.

“Sepatutnya setiap pasukan kena ada orang yang menguruskan soal komersial.

“Kalau ada orang uruskan soal komersial, secara tidak langsung ia dapat menguntungkan kedua-dua pihak, pasukan dan penaja,” kata wakil tersebut.

Semalam, bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali dan Kamaruddin Abdullah menegaskan pasukan perlu bijak mencari dana sekiranya mereka mahu berbelanja besar.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) menyatakan mereka kehilangan empat penaja besar kerana penaja yang sebelum ini hampir pasti menaja pasukan mengambil keputusan untuk menarik diri kerana isu tunggakan gaji yang melanda pasukan itu.

“Kebanyakan penaja termasuk kami melihat apa yang kami boleh kami dapat daripada tajaan termasuk juga di pihak kami.

“Hakikatnya di Malaysia, ada pasukan yang hanya menghantar mesej kepada saya meminta tajaan tanpa mengemukakan kertas kerja.

“Adakah itu profesional? Tetapi kami bernasib baik kerana pasukan yang kami taja memberi kerjasama baik termasuk jika kami mahu guna khidmat pemain dalam rangka promosi,” tambahnya.

Perkara yang dibangkitkan di atas sememangnya belum disedari oleh beberapa pasukan dalam Liga Malaysia. Mereka terlalu menumpukan perhatian bagi mengukuhkan pasukan utama sehingga lupa dengan tanggungjawab yang lain seperti menaikkan nilai komersial pasukan.

Selain menaikkan nilai komersial, hubungan dengan penyokong setia pasukan juga kadang-kala diambil mudah sehinggakan penyokong sendiri merasa terasing dan tidak dihargai.

Seeperkara lagi, sikap yang tidak profesional juga menjadi antara masalah yang berulang khususnya dari segi pengurusan pasukan.

Baca Juga: Gaji Tidak Setanding Dengan Kualiti

Leave a Reply