Sumber Gambar: FAM

Kejohanan Piala Empat Negara yang akan diadakan pada Mac depan akan diwarnai oleh pasukan yang pernah beraksi di pentas Piala Dunia. Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, semalam.

Menurut laporan Stadium Astro, Stuart menjelaskan pasukan tersebut pernah beraksi dalam temasya Piala Dunia 2010 dan difahamkan pasukan itu ialah New Zealand memandangkan jurulatih pasukan itu, Fritz Schmid, mempunyai hubungan baik dengan FAM selaku bekas pengarah teknikal badan induk itu.

Pada masa yang sama, Stuart mengambil pendekatan berdiam diri mengenai pasukan mana yang akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut. Difahamkan satu lagi pasukan yang akan menyertai Piala Empat Negara beraksi di Piala Asia 2019 dan tewas pada perlawanan peringkat 16 pasukan terakhi.

“Dalam fahaman saya, pasukan ini tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia dan berdepan pasukan kebangsaan. Mereka bukan skuad ternama Piala Dunia tetapi salah sebuah pasukan yang bersaing dalam Piala Dunia 2014 serta tewas dalam final play off Piala Dunia 2018,” katanya.

FAM kini hanya menunggu lampu hijau satu lagi pasukan yang masih beraksi dalam kempen Piala Asia selepas hasrat untuk mendapatkan pasukan India tidak kesampaian.

“Saya rasa jika kami bermain bola dan takut kepada keputusan, memang sukar untuk maju. Perbincangan pasukan dan kualiti pasukan telah diadakan dengan jurulatih negara, Tan Cheng Hoe.”

Kejohanan itu bakal menjadi medan terbaik buat Harimau Malaya melonjakkan kedudukan mereka ke ranking lebih baik menjelang kelayakan Piala Dunia 2022 pertengahan tahun ini.

Sejak menampilkan aksi cemerlang dalam saingan Piala AFF Suzuki 2018 sehingga mara ke pentas perlawanan akhir, pasukan negara bagaikan mendapat tonik baru dan kini para pemain dilihat sudah bersedia untuk melangkah ke pentas yang lebih besar.

Dengan Tan Cheng Hoe yang dikekalkan sebagai ketua jurulatih, harapan untuk melihat Harimau Malaya beraksi di pentas besar seperti sebelum ini kembali terang dan para peminat juga meletakkan sepenuh sokongan untuk bekas pengendali Kedah ini menerajui pasukan negara.

Baca Juga: Pasukan Terbaik Dalam Pesta Bola Merdeka

Leave a Reply