Sumber Gambar: Perak TBG

Bekas pemain import Melaka United dan Perak, Yashir Pinto sah menyertai pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini. Perkara ini disahkan oleh presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Yashir menandatangani kontrak sehingga hujung musim 2019 dan menurut Datuk Zainol, keputusan untuk menandatangani pemain kebangsaan Palestine itu dibuat setelah oleh pihak pengurusan memandangkan Yashir pernah beraksi dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini.

“Beliau dah biasa dan sinonim dengan persekitaran bola sepak kita yang pada 2016 bersama Melaka dan pada musim 2017, beliau bersama Perak.

“Beliau juga boleh beraksi di beberapa posisi terutama di bahagian tengah dan penyerang. Jadi itu antara kelebihan yang kita lihat dan setuju untuk mengambil beliau bagi memperkuatkan pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Datuk Zainol, pihaknya mahu mengambil seorang lagi pemain import dari Senegal yang beraksi di bahagian serangan dalam masa terdekat namun enggan mendedahkan dengan lebih lanjut berikutan pemain itu masih menjalani ujian bersama pasukan dan perlu melepasi beberapa syarat ditetapkan.

Pinto menjadi pemain import ketiga yang dibawa masuk oleh pengurusan pasukan setelah mereka membawa masuk Thomas Abby dari Ghana dan pemain kebangsaan Tajikistan, Sijavush Asrorov bagi memperkukuhkan pasukan.

Pemain berusia 27 tahun ini kali pertama beraksi di Malaysia ialah pada 2016. Pinto menjadi sebahagian daripada pasukan yang membantu Melaka United muncul sebagai juara Liga Perdana musim 2016.

Setelah membantu Melaka muncul juara Liga Perdana, Pinto berhijrah dengan menyertai pasukan Perak pada musim seterusnya. Namun Pinto tidak menamatkan saingan musim 2017 kerana beliau ditimpa masalah kecederaan archilles tendonitis. Sepanjang beraksi bersama Perak, Pinto berjaya menjaringkan 6 gol dalam semua pertandingan.

Yashir Pinto nyata teruja apabila beliau menyertai PKNP FC dan berpendapat pasukan itu boleh mara lebih jauh dengan adanya beberapa pemain berpengalaman.

“Saya yakin pasukan ini mampu pergi jauh dan dengan kehadiran beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Hafiz Kamal, Mohd Fazrul Hazri Kadri dan dua pemain import lain, kita mampu menyaingi pasukan lain,” katanya.

Baca Juga: Mehmet Durakovic Yakin Dengan Pemain Tempatan

Leave a Reply