Sumber Gambar: Kompas Bola

Pemain muda Indonesia, Firza Andika bakal menjadi pemain pertama dari negara itu untuk beraksi di Belgium setelah menandatangani kontrak profesional bersama pasukan A.F.C. Tubize.

Pemain skuad bawah 19 tahun Indonesia ini sudah menjalani ujian bersama beberapa pasukan di sekitar Eropah dan akhirnya beliau mengakhiri segala spekulasi dan khabar angin apabila menandatangani kontrak bersama Tubize.

A.F.C. Tubize ditubuhkan pada tahun 1990 dengan hasil penggabungan dua pasukan iaitu F.C. Tubize dan Amis Réunis de Tubize. Pasukan ini berpangkalan di bandar Tubize dan kini mereka dilatih oleh pengurus dari Perancis, Philippe Thys.

Firza Andika merupakan produk daripada akademi Semen Padang sebelum menyertai pasukan PSMS Medan bagi saingan Liga 1 musim lalu. Firza kemudiannya dipanggil bagi menyertai skuad bawah 19 tahun dan bawah 23 tahun Indonesia.

Pemain versatile yang mampu beraksi sebagai pemain pertahanan dan pemain sayap ini menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Tubize dan akan mula menyertai pasukan utama bermula tahun ini.

Setelah bintang muda, Egy Maulana Vikri menyertai kelab Poland, Lechia Gdansk tahun lalu, Indonesia menjadi perhatian dimana beberapa pasukan Eropah mula mencari prospek muda dari negara itu untuk dikembangkan.

Menurut laporan FoxSport Asia, perjanjian Firza merupakan hasil daripada kerjasama antara pemain itu dengan agensi 2Touch International.

Wakil 2Touch International, Khairul Asyraf berkata beliau gembira untuk membantu pemain muda Indonesia dalam memenuhi impian untuk beraksi di Eropah dan menasihati agar pemain kekal merendah diri dan bekerja keras.

“Kami gembira dapat memainkan peranan dalam perkara ini. Kami sedar ada pemain berbakat di Asia, khususnya di rantau Asia Tenggara. Kami akan cuba sedaya-upaya untuk membantu, yang selebihnya terpulang kepada pemain,” kata Asyraf.

Pasukan yang beraksi di Divisyen Pertama Belgium B ini berada di pusingan kedua bagi saingan musim 2018/2019 dan mereka juga mempunyai hubungan rapat dengan juara Liga Perdana Inggeris 2017/2018, Manchester City.

Malaysia juga mempunyai wakil yang beraksi di Belgium dimana pemain kacukan Belgium-Sarawak, Johan Dion Cools beraksi bersama Club Brugge KV.

Baca Juga: Indonesia Terus Kempunan Juarai Piala AFF

Leave a Reply