Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengesahkan mereka sudah mendapat lampu hijau daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendaftarkan Lee Tuck sebagai pemain tempatan musim ini.

Perkara ini disahkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim dimana beliau berkata pihaknya akan memulakan proses menukar status Lee Tuck secepat mungkin.

“Proses untuk menukar status Lee Tuck sebagai pemain tempatan dijangka bermula selepas selesai majlis memperkenalkan pemain dan jersi TFC pada esok (hari ini).

“Begitupun, kami bersepakat ia tidak menjadi keutamaan kepada PBSNT dan Lee Tuck sendiri untuk disegerakan,” katanya menurut laporan Kosmo.

Nama Tuck menjadi sebutan untuk ditukar status daripada pemain import kepada pemain tempatan kerana nenek pemain ini berasal dari Malaysia.

Lee Tuck sendiri menyambut baik cadangan tersebut dan bersedia untuk mencurah segala tenaga bagi membantu meningkatkan kualiti serta corak permainan pasukan negara.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah memberi lampu hijau kepada pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Selain Lee Tuck, dua lagi pemain turut dikhabarkan bakal mengikuti jejak langkah Sumareh. Dua pemain yang dimaksudkan ialah penyerang Kuala Lumpur, Guilherme De Paula dan pemain tengah Melaka United, Liridon Krasniqi.

Kedua-dua pemain ini sudah lama beraksi dalam saingan Liga Malaysia dan prestasi konsisten yang ditunjukkan membuat Guilherme dan Liridon menjadi pilihan.

Baca Juga: Lee Tuck Tunggu Khabar Gembira Dari FAM

Leave a Reply