Sumber Gambar: Kaki Jersi

Pengeluar pakaian sukan tempatan, Kaki Jersi membuat kejutan apabila mereka mengumumkan tentang jalinan kerjasama bersama kelab dari Indonesia, Persijap Jepara untuk menjadi pembekal rasmi pakaian kelab itu bagi saingan musim 2019.

Perkara ini diumumkan oleh pihak KJ dan juga Persijap sendiri di laman media sosial rasmi mereka semalam.

Kaki Jersi sebelum ini sinonim dengan penajaan beberapa pasukan yang beraksi di peringkat Liga Sosial dan amatur di sekitar Lembah Klang dan juga negeri Terengganu. Antara pasukan yang ditaja mereka ialah Ampang United, Klasiko FC dan dua kelab dari Terengganu iaitu Pemanis FC dan Raja Permin FC.

Bagi Persijap Jepara pula, pasukan yang berpangkalan di kota Jepara, Jawa Tengah ini akan beraksi dalam saingan Liga 3 Indonesia musim ini. Presiden pasukan, Esti Puji Lestari menyatakan keterujaan beliau kerana Kaki Jersi memilih Persijap sebagai pelaburan.

““Kami gembira kerana syarikat seperti Kaki Jersi telah memilih pasukan seperti Persijap sebagai pelaburan untuk menembusi pasaran di Indonesia. Apa yang menggembirakan saya, kerjasama ini juga sebagai satu platform untuk Kaki Jersi melancarkan pakaian sukan mereka yang begitu inovatif dan terkini.

“Sebagai pembekal jersi rasmi kami, Kaki Jersi memainkan peranan penting dalam usaha kami untuk membangunkan bolasepak di daerah Jepara. Kami sudah melihat usaha dan hasil bantuan mereka dalam bolasepak sosial dan sukan komuniti di Selangor dan Terengganu dan kami harap ia dapat dilakukan juga di Jepara,” katanya.

Perjanjian antara kedua-dua pihak melibatkan jersi pasukan, pakaian latihan dan ke tempat lawan untuk pasukan utama, remaja, wanita, barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan Persijap.

Dengan perjanjian yang dilakar ini, mungkin sudah tiba masanya pasukan dalam Liga Malaysia mula menjalankan kerjasama bersama pengeluar pakaian sukan tempatan. Ada beberapa pengeluar lain selain KJ yang dilihat mampu untuk menjadi penaja antaranya Fitech Wear dan Blackbox Printing.

Baca Juga: FAM Beri Lampu Hijau Kepada Lee Tuck

Leave a Reply