Sumber Gambar: Hanelang FC

Persatuan Bolasepak Daerah Hulu Terengganu (PBSDHT) mengesahkan pasukan Hanelang FC milik mereka, namun, segala operasi pasukan musim lalu diuruskan oleh Tulangis Group.

Perkara ini disahkan oleh Presiden PBSDHT, Abdullah Sulong sekaligus meletakkan titik noktah mengenai persoalan siapa pemilik mutlak kelab tersebut.

Isu mengenai siapa pemilik Hanelang FC timbul setelah bekas pemain pasukan itu tampil dan menuntut tunggakan gaji mereka yang berjumlah 8 bulan.

“Skuad Hanelang FC adalah di bawah PBSDHT sejak penubuhannya pada tahun 2014 lagi, tapi bermula tahun 2018 pengurusan kelab itu diuruskan oleh syarikat Tulangis Group yang bersetuju menguruskan semua perjalanan kelab termasuk penajaan,” kata Abdullah menurut laporan Berita Harian.

“Ia seperti kita bagi permit kepada syarikat itu (kepada Tulangis Group) untuk meneruskan aksi dalam saingan Liga FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) selepas mereka bersetuju untuk uruskan pasukan itu.

“Oleh kerana persetujuan itu, syarikat berkenaan harus membayar semua tunggakan gaji pemain, jurulatih dan pegawai terlibat. Jika sebelum ini syarikat itu tidak bersedia dan tidak berjanji untuk menguruskan pasukan itu, kami (PBSDHT) tidak akan menghantar pasukan Hanelang FC beraksi dalam saingan Liga FAM musim lalu.”

Jumlah keseluruhan tunggakan gaji 20 bekas pemain Hanelang yang beraksi bersama pasukan musim lalu dikatakan berjumlah RM1.1 juta.

Tambah Datuk Abdullah, beliau mahu memanggil PBSDHT dan Tulangis Group duduk semeja berbincang bagaimana untuk menyelesaikan kemelut itu.

“PBSDHT adalah persatuan berdaftar di bawah gabungan PBSNT, jadi badan induk bolasepak negeri itu adalah bapa kami, jadi kami harus mengadu kepada bapa dan bapa harus mengambil tahu dan perlu mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikannya kerana akhirnya kesannya juga kepada PBSNT,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu berkata, kelab itu berada di bawah kendalian PBSDHT dan dari tahun 2014 hingga 2017, skuad Hanelang FC itu diuruskan melalui MSNT termasuk penajaan.

“Bagaimanapun bermula 2018 MSNT tidak lagi menguruskan pasukan itu dan saya difahamkan kelab yang berdaftar di bawah PBSDHT itu ditaja sebuah syarikat,” kata Ibni Amin.

Baca Juga: Pemain Hanelang FC Tuntut Tunggakan Gaji

Leave a Reply