Sumber Gambar: MFL

Pasukan Johor Darul Ta’zim menjulang Piala Sumbangsih 2019 setelah berjaya menewaskan pasukan Perak dengan keputusan 1-0 sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Larkin ini, jelas juara bertahan Liga Super menguasai perlawanan dimana mereka lebih dominan di setiap bahagian dan kerap kali mengancam kubu pertahanan pasukan lawan.

Pada separuh masa pertama, JDT membuat sebanyak 9 percubaan ke arah pintu gol Perak manakala pasukan bimbingan Mehmet Durakovic gagal untuk membuat satu percubaan pun ke arah pintu gol JDT.

Mujur ada Hafizul Hakim yang beraksi dengan cemerlang apabila beliau menafikan beberapa percubaan daripada pemain JDT.

Namun, Hafizul akhirnya tertewas apabila Gonzalo Cabrera melakukan satu rembatan lambung sekaligus menewaskan beliau dan juga benteng pertahanan Perak. Separuh masa pertama menyaksikan JDT berada di hadapan.

Memasuki separuh masa kedua, Perak dilihat tampil dengan lebih baik dimana mereka berjaya memperbetulkan beberapa kesilapan yang terjadi pada separuh masa pertama.

Mehmet memasukkan J.Partiban dan Shahrel Fikri Fauzi bagi memantapkan lagi jentera serangan namun benteng pertahanan lawan yang kukuh menafikan mereka untuk memperoleh gol penyamaan. Peluang keemasan Perak hadir pada penghujung perlawanan menerusi satu bola hantaran lintang namun ianya tidak dapat disudahkan oleh mana-mana pemain Perak.

Perlawanan bertukar sedikit tegang pada penghujung perlawanan dimana Amirul Azhan mengasari pemain import JDT, Diogo Luis Santo. Amirul sepatutnya dilayangkan kad merah atas terjahan itu namun pengadil tidak memberi sebarang hukuman.

JDT berjaya bertahan sehingga wisel penamat dibunyikan dan mereka berjaya memenangi Piala Sumbangsih 2019.

Lain-lain keputusan Liga Super 2019 pada malam ini:

Melaka United 2-1 Petaling Jaya City FC
Kedah 2-0 PKNP FC

Baca Juga: JDT Kehilangan Khidmat Diogo Luis Santo

Leave a Reply