Sumber Gambar: JST

Juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim berkemungkinan besar tidak dapat menggunakan khidmat pemain import baru mereka, Diogo Luis Santo pada perlawanan Piala Sumbangsih 2019 menentang pasukan Perak malam ini.

Diogo mengalami kecederaan ketika siri perlawanan pra musim dan ketua jurulatih pasukan, Luciano Figueroa masih belum pasti sama ada beliau sempat pulih menjelang perlawanan malam ini.

Menurut Lucho, Diogo kini sedang menjalani rawatan dan beliau bersedia sekiranya Diogo tidak dapat diturunkan dalam kesebelasan utama.

“Diogo masih cedera, dia berusaha untuk pulih dan nampak sifat profesionalnya cuba pulih sebelum perlawanan menentang Perak, kami harap dia bersedia 100 peratus dan jika dia tidak bersedia kami akan merehatkannya.

“Kami tidak mahu ambil risiko untuk menyenaraikan Diogo dalam kesebelasan utama jika dia masih cedera kerana JDT akan berdepan saingan liga yang panjang dan khidmatnya amat diperlukan pada aksi seterusnya.

“Selain Diogo, kami kehilangan Gary Steven Robbat akibat kecederaan dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan namun senario itu tidak merisaukan kerana kami mempunyai ramai pemain yang lengkap dan sedia untuk beraksi,” kata Lucho menurut laporan Berita Harian.

Dengan ketiadaan Diogo Luis Santo, posisi penyerang utama pasukan bakal diisi oleh dua penyerang skuad kebangsaan iaitu Syafiq Ahmad ataupun Hazwan Bakri.

Syafiq telahpun digunakan dalam beberapa perlawanan pra musim di Thailand sebelum ini dan beliau merupakan pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.

Tambah Figueroa, dua lagi pemain import baru, Aaron Niguez dan Mauricio Santos membentuk gandingan yang mantap bersama pemain tempatan dan memahami corak permainan yang ditetapkan.

“Saya akui agak pening untuk menyenaraikan kesebelasan utama kerana kesemua pemain JDT menunjukkan prestasi memberangsangkan dan ia sebenarnya satu kelebihan untuk pasukan kerana tidak berdepan masalah menurunkan pemain terbaik.

“Di benteng pertahanan Mauricio akan diturunkan tetapi belum pasti lagi siapa akan bergandingan bersamannya sama ada Adam Nor Azlin atau Aidil Zafuan Abd Radzak kerana kedua-dua pemain itu tampak serasi dengan Mauricio. Kita tunggu sahaja esok,” tambahnya.

Baca Juga: Perak Dan Johor Darul Ta’zim Sedia Rebut Piala Sumbangsih

Leave a Reply