Sumber Gambar: Perak TBG

Juara Piala Malaysia 2018, Perak bakal turun tanpa kelibat dua penyerang mereka, Shahrel Fikri dan Gilmar Da Silva pada perlawanan Piala Sumbangsih 2019 menentang pasukan Johor Darul Ta’zim malam ini.

Ketua jurulatih pasukan, Mehmet Durakovic berkata Gilmar terpaksa diketepikan akibat penggantungan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kad merah pada perlawanan akhir Piala Malaysia, musim lalu.

Manakala bagi Shahrel Fikri pula, beliau masih dilanda kecederaan dan berkemungkinan besar tidak akan disenaraikan dalam pasukan malam ini.

“Apa jua yang kami hadapi tanpa Shahrel Fikri dan Gilmar, kami tetap akan beraksi dan memberi persembahan terbaik untuk menewaskan JDT dan kita tahu peluang menewaskan pasukan itu di kubu mereka sememangnya sukar.

“Persiapan kami untuk memulakan kempen Liga Super berjalan lancar malah beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden yang dibawa masuk menunjukkan komitmen tinggi, saya tidak berdepan masalah jika mahu menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama menentang JDT.

“Kehadiran Zac Anderson di dalam pasukan memberi kesan positif pada barisan pertahanan yang tampak lebih mantap tatkala pemain itu menggunakan segala pengalaman yang ada, dia juga cepat menyesuaikan diri dengan pemain tempatan,” kata Mehmet kepada Berita Harian.

Untuk rekod, Perak tidak pernah menang apabila beraksi di Larkin sejak 2013 namun bekas pengendali pasukan Selangor ini optimis anak-anak buah beliau mampu untuk mencipta kejutan.

Kali terakhir skuad The Boss Gaurus memenangi Piala Sumbangsih ialah pada tahun 2006 dimana mereka menewaskan pasukan Selangor dengan keputusan 4-2.

“Mungkin kami mengulangi kejayaan 2006. Walaupun ia sudah lama tetapi kami akan cuba malah aura menjulang Piala Malaysia musim lalu bakal menjadi motivasi setiap pemain untuk turun menentang JDT dan cuba melakar kejutan serta membawa pulang tiga mata,” tambahnya.

Lawan Perak malam ini, Johor Darul Ta’zim juga berdepan sedikit masalah di bahagian serangan apabila mereka tidak dapat menurunkan pemain import, Diogo Luis Santo ekoran masalah kecederaan yang dialami sewaktu perlawanan pra musim di Thailand minggu lalu.

Baca Juga: JDT Kehilangan Khidmat Diogo Luis Santo

Leave a Reply