Sumber Gambar: KL Hawks

Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengesahkan mereka telah melangsaikan tunggakan gaji pemain selama dua bulan iaitu bulan November dan Disember 2018 sebelum perlawanan pertama Liga Super musim 2019 menentang pasukan Pahang pada Jumaat lalu.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata kini hanya gaji bagi bulan Januari 2019 yang belum dilunaskan dan beliau berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin agar fokus pemain tidak terganggu.

“Kita sudah selesaikan pada Rabu minggu lepas sebelum lawan Pahang, ada laporan kata ia akan diselesaikan minggu ini, saya rasa ianya salah faham. Jumlah tunggakan keseluruhan RM2.1 juta telah dibayar merangkumi pemain dan anggota skuad Liga Super, Piala Presiden (B-21) dan juga Piala Belia (B-19).

“Untuk Januari, tiada isu kerana ia bukan tertunggak tetapi hanya sedikit kelewatan dalam membuat pembayaran, dan jika ada rezeki kita cuba selesaikan minggu ini. Kita telah menepati janji untuk bayar tunggakan dua bulan untuk 2018, dan sudah tentunya kita juga akan tepati janji menyegerakan pembayaran Januari, doakan kami diberikan rezeki.

“Apapun kita berterima kasih kepada semua pemain kerana memahami masalah yang KLFA hadapi berpunca daripada penangguhan kongres tahunan dan menunjukkan kesabaran. Pengurusan akan terus bekerja keras, diharap pemain akan beraksi dengan lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” ujar Nokman ketika dihubungi oleh Fox Sport.

Isu tunggakan gaji menyebabkan skuad Thw City Boys kehilangan pemain pertahanan, Syazwan Andik Ishak yang memilih untuk menamatkan kontrak beliau bersama KLFA dan menyertai juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim.

Isu tersebut juga mencetuskan kerisauan ketua jurulatih pasukan, Yusri Che Lah dimana beliau risau lebih ramai pemain akan angkat kaki sekiranya isu tunggakan gaji tidak diselesaikan dengan cepat.

Kuala Lumpur memulakan saingan Liga Super musim ini dengan kekalahan apabila mereka tunduk kepada juara Piala FA 2018, pasukan Pahang dengan keputusan 3-1.

Bagi perlawanan minggu kedua, Kuala Lumpur akan bertandang ke Larkin bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim. Musim lalu, Kuala Lumpur menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan JDT dalam saingan Liga.

Baca Juga: Penurunan Harga Tiket Beri Kesan

Leave a Reply