Sumber Gambar: FA Selangor

Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan menggesa pasukannya untuk segera menemui rentak bagi memastikan mereka mencatat tiga mata pertama bagi saingan musim 2019.

Juara Liga Super musim 2009 ini hanya mampu mengutip keputusan seri pada perlawanan pembukaan Liga Super musim ini apabila mereka diikat pasukan Felda United dengan keputusan 1-1.

Menurut Sathia, beliau sudah menjangka anak-anak buahnya akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan rentak pada perlawanan pertama Liga Super. Ini kerana pemain belum “panas” serta saingan Liga baru memasuki minggu pertama.

Bekas pengendali pasukan kebangsaan itu menyifatkan anak-anak buah beliau beraksi dengan baik pada separuh masa pertama. Namun, memasuki separuh masa kedua, pemain Selangor dilihat sedikit longlai.

“Belum di tahap yang saya idamkan. Ini perlawanan pertama, memang susah nak cari rentak. Walaupun aksi persahabatan kita bermain bagus, tetapi saingan semalam jauh berbeza.

“Saya memang sudah agak ia akan berlaku. Cuma tak jangka kami bermain dengan bagus pada separuh masa pertama, tetapi babak kedua kita kurang sikit. Mungkin kami terdesak nak cari gol kedua. Apapun kami kena berdisiplin jika berdepan situasi seperti itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pada perlawanan menentang pasukan Felda United di Stadium Shah Alam Ahad lalu, Selangor terlebih dahulu di depan menerusi jaringan jarak jauh pemain import baru, Antonio German pada minit ke-41. Rembatan German berjaya menewaskan bekas penjaga gol Selangor, Norazlan Razali di gawang The Fighters.

Akan tetapi, kelebihan yang dimiliki Selangor tidak bertahan lama apabila ketua pasukan Felda, Hadin Azman menyamakan kedudukan pada minit ke-69 sekaligus memberi satu mata kepada kedua-dua pasukan.

Tambah Sathia, beliau akan melakukan perubahan dalam kesebelasan utama menjelang perlawanan menentang Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini.

Pemain seperti Syahmi Safari, Syazwan Zainon serta Sean Eugene Selvaraj dijangka diturunkan selepas ketiga-tiga pemain ini bermula daripada bangku simpanan pada perlawanan pertama.

Baca Juga: Selangor Gunakan Stadium Shah Alam – Datuk Rauf Ahmad

Leave a Reply