Sumber Gambar: Felda United

Ketua pasukan Felda United, Hadin Azman percaya pasukannya mampu untuk memberikan cabaran kepada pasukan besar yang lain dalam saingan Liga Super musim ini.

Hadin berpendapat keputusan seri yang diperoleh ketika menentang pasukan Selangor perlawanan pertama saingan Liga Super musim ini merupakan permulaan yang baik buat Felda.

Tambah bekas pemain Harimau Muda ini, kejayaan mengutip satu mata itu juga memberi gambaran bahawa The Fighters mampu untuk memberi cabaran kepada pasukan yang mempunyai nama-nama besar dalam skuad mereka seperti Selangor dan Johor Darul Ta’zim.

“Bagaimanapun, saya akui masih terlalu awal untuk menilai FELDA United kerana banyak lagi perlawanan perlu dilalui untuk meletakkan kelab ini pada kedudukan terbaik musim 2019.

“Tetapi ia permulaan baik kerana musim ini The Fighters dibarisi sebahagian besar pemain muda dan dilabel sebagai pasukan ‘underdog’.

“Kami perlu tampil dengan prestasi lebih baik dan bekerja keras pada setiap perlawanan untuk terus memberi saingan dan meraih keputusan positif,” kata Hadin Azman kepada Harian Metro.

Pada perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam Ahad lalu, Hadin muncul penyelamat Felda United apabila jaringannya pada minit ke-69 sudah cukup untuk memadamkan kelebihan satu gol Red Giants yang dihasilkan oleh pemain import, Antonio German pada penghujung babak pertama.

Juara Liga Perdana musim 2018 ini memutuskan untuk membuat sedikit perubahan dalam pasukan apabila menggunakan tenaga muda bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2019.

Beberapa nama besar yang membantu pasukan menjuarai Liga Perdana musim lalu seperti Shukor Adan, Gilberto Fortunato dan Thiago Augusto Fernandez tidak disambung kontrak. Ketua jurulatih, B Sathianathan juga tidak disambung khidmatnya dan digantikan dengan Nidzam Jamil.

Baca Juga: Isu Tunggakan Gaji Akan Diselesaikan Segera – PFA

Leave a Reply