Sumber Gambar: PNL

Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan, Amirizdwan Taj Tajuddin mengakui beliau termakan janji manis Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie ketika bersetuju menyertai pasukan itu sebelum saingan Liga Perdana musim ini bermula.

Amirizdwan terpaksa mengalami episode hitam ini buat kali ketiga dimana sebelumnya, pemain tinggi lampai ini pernah menghadapi masalah tunggakan gaji bersama pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan.

Menurut Amirizdwan, Datuk Amizal berkata beliau mempunyai bajet besar RM15 juta untuk mengharungi saingan Liga Malaysia sepanjang musim ini dan mahu dia menyertai skuad Singa Utara itu.

Berpegang kepada janji tersebut, Taj mengambil keputusan untuk menyertai Perlis bersama beberapa bekas pemain skuad kebangsaan yang lain seperti Safee Sali, Khyril Muhymeen, Badri Radzi, Azmi Muslim dan Nasriq Baharom.

“Mana RM15 juta itu? Beliau kata bajet itu untuk pasukan utama Perlis hingga hujung musim ini. Takkan dah habis atau sebenarnya beliau ‘kencing’ saya.

“Masalahnya liga tak mula pun lagi, tapi saya dan kawan-kawan lain tak dibayar langsung dari bulan lepas dan esok dah masuk bulan kedua.

“Saya harap beliau akan dapat selesaikan masalah ini segera. Jangan aniaya pemain kerana masa pujuk cakap memang ‘power’, tapi sebenarnya habuk pun tak ada,” katanya kepada Harian Metro.

Akibat daripada gaji yang belum dibayar, pemain Perlis dikhabarkan enggan untuk terus beraksi bersama pasukan pada perlawanan seterusnya.

Jika perkara ini terjadi, maka PFA bakal mendapat tamparan hebat dimana mereka mungkin tidak mempunyai pemain yang cukup bagi menentang pasukan UiTM FC pada perlawanan minggu kedua Liga Perdana 2019.

Pada 15 April 2018, aksi Kuantan FA dan PDRM di Stadium Shah Alam terpaksa dibatalkan selepasa nak buah Ismail Zakaria tidak hadir pada waktu perlawanan bermula sebagai tanda protes kegagalan pengurusan menyelesaikan tunggakan gaji kelab itu.

Amirizdwan Taj menambah beliau masih menghormati kontraknya bersama PFA.

“Pasal nak keluar daripada pasukan itu saya tak tahu kena tanya pemain lain. Macam bagi saya, kita masih ada kontrak dan perlu menghormati kontrak itu,” tambahnya.

Baca Juga: Pemain Perlis Tertekan Dengan Isu Tunggakan Gaji

Leave a Reply