Sumber Gambar: Stadium Astro

Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mula mempamerkan taring beliau bersama Fagiano Okayama apabila menjaringkan satu gol pada perlawanan persahabatan menentang Universiti Kansai Fukushi di Osaka, Jepun, baru-baru ini.

Selain mempamerkan taring dengan menjaringkan satu gol pada perlawanan tersebut, Hadi juga berjaya menyumbang assist kepada rakan sepasukan bagi memastikan Fagiano mencatat kemenangan dengan keputusan 3-0.

Aksi yang ditampilkan oleh Hadi nyata memberi nafas kelegaan buat individu yang bertanggungjawab membawa bekas pemain Johor Darul Ta’zim II ini ke Jepun iaitu Hiroshi Hamada, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd.

Hamada menyatakan beliau gembira dengan satu gol yang dijaringkan oleh Hadi dan berpendapat gol tersebut boleh menjadi permulaan baik Hadi bersama Fagiano.

“Hadi ada menghubungi saya selepas perlawanan tersebut. Dia memaklumkan kepada saya berhubung kejayaannya itu. Meskipun ia merupakan aksi persahabatan pramusim, saya lihat kejayaan itu sebagai permulaan yang cemerlang untuk Hadi.

“Ini juga merupakan gol pertamanya di Jepun bersama Fagiano. Hadi juga dilihat dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan dan permainan di Jepun. Selain itu, dia juga bermain dengan baik di bawah suhu yang rendah dan cuaca hujan.

“Perkembangan ini merupakan satu petanda positif kepada kerjaya Hadi. Apapun, kami di sini berkongsi kegembiraan tersebut,” kata Hamada kepada Utusan Malaysia.

Hadi bakal pulang ke Malaysia bagi menyertai sesi latihan bersama skuad Bawah 22 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee sebagai persiapan menghadapi Piala AFF B-22 di Kemboja.

Pemain berusia 19 tahun ini dijangka bakal mengisi kesebelasan utama pasukan dan menjadi harapan utama untuk merobek gawang lawan.

Ini kerana beberapa pemain utama berkemungkinan besar tidak akan menyertai pasukan seperti dua pemain Johor Darul Ta’zim, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid serta pemain Selangor, Syahmi Safari.

Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan enggan melepaskan Syahmi kerana pemain itu merupakan tunjang utama pasukan dan perkara sama dilihat bakal berlaku kepada Safawi dan juga Akhyar.

Baca Juga: Hadi Fayyadh Sah Menyertai Fagiano Okayama

Leave a Reply