Sumber Gambar: Stadium Astro

Ketua jurulatih pasukan Perlis, Manzoor Azwira mengakui anak-anak buahnya tertekan dengan isu tunggakan gaji mereka yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.

Jelas Manzoor, isu semasa sedikit-sebanyak mengganggu persiapan pasukan bagi menghadapi pasukan UKM FC pada perlawanan pembukaan Liga Perdana musim 2019 minggu lalu. Perlis tewas pada perlawanan tersebut.

Pada masa yang sama, Manzoor meminta para peminat untuk memberikan ruang kepada pengurusan pasukan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Saya akui pemain terganggu dengan isu yang timbul malah hampir setiap hari berita yang keluar di media seakan Perlis ini pasukan yang teruk.

“Malah isu ini bukan membuatkan pemain tertekan, tetapi ia juga merunsingkan keluarga mereka sehingga kami terganggu pada perlawanan pertama Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Tambah Manzoor, beliau berharap pemain bertenang dan tidak terlalu gelabah ketika isu ini sedang hangat diperkatakan media.

“Sebenarnya gaji pemain ini cuma sangkut sebulan sahaja, bukan dua bulan kerana tarikh kemasukan gaji bulan kedua masih belum tiba lagi.

“Apabila lihat isu ini hangat diperdebatkan, keluarga pemain ada yang menghubungi saya bertanya sedangkan pemain masih boleh bersabar tetapi tekanan yang diberikan mengganggu fokus kami.

“Lagipun, bukan Perlis sahaja yang menghadapi masalah ini (gaji tertunggak), pasukan lain juga sama dan saya harap selepas ini pemain tidak terlalu beremosi sehingga melaporkan kepada media,” tambahnya.

Sebelum ini, penyerang pasukan, Safee Sali membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berikutan beliau dan rakan sepasukan belum menerima gaji pertama.

Kegagalan pengurusan pasukan untuk membayar gaji pemain ini menyebabkan beberapa pemain dikhabarkan mahu meninggalkan pasukan.

Antara nama yang disebut bakal meninggalkan pasukan Perlis ialah bekas pemain tengah Kelantan, Badhri Radzi, bekas penyerang Kedah, Khyril Muhymeen dan bekas pemain pertahanan Negeri Sembilan, Nasriq Baharom.

Piya semakin dekat untuk menyertai pasukan yang akan beraksi dalam saingan Liga M3 iaitu Kelantan United.

Baca Juga: Pemain Belum Buat Aduan Rasmi Kepada PFAM

Leave a Reply