Sumber Gambar: Perak TBG

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu mengumumkan bahawa phaknya akan memberikan tiket percuma kepada peminat bagi perlawanan antara pasukan Perak menentang Kedah di Stadium Ipoh, Perak malam ini.

Yang menjadi persoalan di sini ialah, adakah budaya pemberian tiket percuma ini masih lagi relevan memandangkan saingan Liga Malaysia sudah memasuki musim 2019 ?

Keputusan yang diambil oleh presiden PAFA ini nyata mengundang kritikan khususnya daripada peminat setia pasukan Perak. Menurut salah seorang penyokong @WanShazwan6, pertembungan diantara Perak menentang Kedah adalah satu perlawanan yang besar. Keputusan untuk memberikan kemasukan percuma kepada peminat adalah satu tindakan yang tidak masuk akal.

Kritikan yang dilemparkan oleh saudara Shazwan ini ada benarnya. Perlawanan besar sudah pasti bakal menarik lebih ramai peminat untuk datang ke stadium. Baik peminat pasukan tuan rumah mahupun pasukan lawan.

Lebih ramai peminat yang datang ke stadium sudah pasti lebih banyak tiket yang terjual dan pasukan secara tidak langsung akan mendapatkan kutipan jualan tiket yang lebih besar. Ini bermaknya kantung kewangan pasukan dapat dikukuhkan dan pelbagai perkara boleh dilaksanakan jika persatuan mempunyai kewangan yang mantap.

Satu lagi perkara yang menyebabkan kemarahan sesetengah penyokong Perak mengenai kemasukan percuma ini ialah adanya tunggakan gaji bagi pemain Piala Belia pasukan itu. Dengan keadaan yang sedikit genting ini, persatuan sepatutnya mencari jalan penyelesaian dan bukannya seolah-olah menambah beban sedia ada.

Namun, ketika ada pihak yang menentang, ada juga pihak yang menyokong tindakan ini. Menurut pihak yang menyokong, kemasukan percuma masih lagi relevan bagi menarik lebih ramai penyokong untuk datang ke stadium. Jika stadium dapat dipenuhkan, pemain boleh mendapat inspirasi tambahan dan mereka mampu untuk menampilkan aksi terbaik.

Satu lagi hujah ialah jika persatuan tersebut mampu dari segi kewangan dan tidak berhadapan dengan sebarang tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan, maka kemasukan percuma adalah satu perkara yang tidak akan mendatangkan masalah kepada mereka.

Penulis berpendapat budaya pemberian tiket percuma ini bolehlah kita buang jauh-jauh kerana ianya tidak membantu dari segi memantapkan kewangan pasukan. Tidak dinafikan kehadiran penonton mungkin akan lebih daripada biasanya.

Namun, penulis lebih gemar stadium dipenuhi dengan peminat setia pasukan dan mereka membayar untuk mendapatkan tiket. Apa yang lebih mustahak ialah kantung kewangan pasukan.

Baca Juga: MFL Mahu Penjelasan Daripada PFA

Leave a Reply