Sumber Gambar: 90Minit

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan tempoh sehingga 15 Februari untuk Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) bagi memberikan penjelasan sekaligus menyerahkan dokumen mengenai situasi kewangan persatuan itu.

Dokumen tersebut akan diserahkan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL pada tarikh yang sama dan MFL mahukan penjelasan yang konkrit mengenai situasi kewangan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata pertemuan beliau dengan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie mendapati badan induk itu mengalami masalah kewangan dan pembayaran gaji pemain musim ini.

“Kita sudah memaklumkan kepada PFA sebagai satu peringatan yang 15 Februari ini adalah tarikh di mana kita sebagai sekretariat akan mengemukakan laporan kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi keadaan semasa PFA untuk tindakan susulan.

“Jadi kita bukan sahaja berdepan isu membabitkan PFA tetapi semua pasukan yang mengalami masalah di dalam proses pendaftaran mereka yang berkait dengan kelewatan bayaran-bayaran sepatutnya.

“Untuk makluman, kita sentiasa berhubung dengan kesemua pasukan, mengikuti perkembangan dan cuba memahami isu dihadapi satu-satu pasukan yang dikendalikan pengurusan baharu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Kevin, PFA sudah sedia maklum mengenai tanggungjawab mereka dan akan mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini.

“PFA menjelaskan mengapa kelewatan ini berlaku dan pertemuan ini memberikan satu ruang kepada pihak pengurusan mereka dan mereka menyedari tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh terdekat ini,” tambahnya.

Kemelut kewangan yang dihadapi oleh PFA ketika ini membuatkan masa depan mereka dalam saingan Liga Perdana musim ini samar. Para pemain dikhabarkan mahu meninggalkan pasukan kerana mereka masih belum menerima gaji pertama sejak menyertai pasukan.

Antara nama-nama yang dikatakan bakal meninggalkan Perlis ialah Badhri Radzi, Khyril Muhymeen, Safee Sali dan Nasriq Baharom. Keempat-empat pemain yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan ini dibawa masuk bagi mengukuhkan pasukan sebelum saingan musim 2019 bermula.

Jika perkara ini berlaku, maka Perlis berkemungkinan besar tidak mempunyai pemain yang cukup untuk menghadapi pasukan UiTM FC pada perlawanan minggu kedua Liga Perdana 2019.

Baca Juga: Amiridzwan Taj Termakan Janji Manis Presiden

Leave a Reply