Sumber Gambar: 90Minit

Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menegaskan beliau enggan untuk melayan sebarang tuduhan yang dilemparkan ke atas beliau dan mahu memberikan sepenuhnya fokus mengemudi pasukan Perlis.

Menurut Datuk Amizal, komitmen pihak pengurusan pasukan tetap tidak berubah iaitu mahu menyelesaikan tunggakan gaji pemain yang sudah memasuki dua bulan.

“Biarlah orang hendak kata apa, lepas korek isu ini, korek isu lain pula. Takkan pasukan negeri sampai bola pun tak boleh beli. Sampai begitu sekali,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Presiden PFA ini mendapat kritikan bertubi-tubi daripada peminat bola sepak tanah air kerana sehingga saat ini beliau masih gagal untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain.

Sebelumnya beberapa pemain Perlis membuat pendedahan dimana mereka mengatakan Perlis bukan sahaja berdepan isu gaji pemain, malah mereka juga menghadapi isu persiapan dimana mereka terpaksa meminjam peralatan seperti bola daripada pasukan lain dalam persiapan Liga Malaysia musim ini.

Seorang pemain yang enggan namanya didedahkan memberitahu Perlis terpaksa meminjam peralatan daripada Felcra FC bagi menjalani latihan.

“Kami berlatih menggunakan peralatan Felcra FC selama dua bulan. Itu urusan pengurusan dan memang Felcra FC sudah datang ambil semula barang mereka.

“Bagaimanapun, kami sudah dapat peralatan latihan baharu. Barang dari PFA sendiri, saya tidak tahu mereka beli atau apa tetapi yang penting kami sudah ada peralatan baharu sejak semalam,” katanya.

Selain itu, beliau turut mendedahkan pemain muda terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri bagi pulang ke tanah air selepas menyertai satu kejohanan jemputan di Thailand, Januari lalu.

“Kejadian berlaku ketika di lapangan terbang di mana bagasi kami lebih muatan, nak minta duit daripada pengurusan mereka sudah masuk (balai berlepas) jadi pemain muda tidak ada duit dan pemain senior tolong bayarkan.

“Bayaran itu sepatutnya dilakukan pihak pengurusan. Saya tidak tahu pengiraannya,” tambahnya.

Semalam, Datuk Amizal membuat pertemuan bersama CEO MFL, Kevin Ramalingam dan Kevin meminta PFA untuk menyediakan dokumen mengenai kewangan persatuan.

Baca Juga: Pemain Perlis Tertekan Dengan Isu Tunggakan Gaji

Leave a Reply