Sumber Gambar: PNL

Pasukan yang sedang dilanda konflik tunggakan gaji, Perlis Northern Lions atau skuad Singa Utara mencipta kejutan apabila mereka berjaya menewaskan pasukan UiTM FC dengan keputusan 3-0. Dua jaringan Khyril Muhymeen dan Kevin Osei sudah cukup untuk memberikan tiga mata pertama bagi saingan Liga Perdana musim ini buat pasukan Perlis.

Namun, perlawanan menentang UiTM FC semalam mungkin menjadi perlawanan terakhir buat beberapa pemain khususnya pemain bintang pasukan jika mereka masih belum menerima gaji pertama.

Sebelum ini, dua pemain Perlis iaitu Safee Sali dan Shahril Sa’ari dikatakan bakal meninggalkan pasukan itu dan menyertai pasukan Kelantan. Spekulasi ini timbul setelah gambar kedua-dua pemain bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KRW Sdn Bhd, Fazli Mohammad tular di media sosial.

Menurut laporan Vocket FC, terdapat sumber yang mengatakan jika pemain tidak mendapat gaji selama dua bulan, maka kontrak mereka akan terbatal.

“Apa yang saya tahu, kalau pemain tidak menerima gaji untuk tempoh dua bulan, kontrak dikira terbatal dan secara automatik pemain boleh pergi ke mana sahaja.

Perkara ini turut disahkan oleh Pegawai Khas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Hasmawi Hassan dimana kontrak pemain Perlis bagi musim 2019 memasuki bulan kedua ialah pada Khamis lalu.

“Dalam kontrak pemain layak buat apa saja kalau (selepas) dua bulan. Kita tengok sampai 7 hari bulan (Khamis lalu),” kata Hasmawi.

Seorang lagi pemain yang dikhabarkan semakin dekat untuk berhijrah ke Kelantan ialah bekas pemain skuad kebangsaan, Badhri Radzi. Akan tetapi, Piya tidak akan menyertai pasukan Kelantan semula melainkan beliau akan memperkuatkan pasukan yang beraksi dalam saingan Liga M3, Kelantan United.

Meskipun PFA menjelaskan Piya pulang ke Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan kerana kecederaan yang dialami, namun kenyataan itu disangkal oleh ramai pihak dan menyifatkan Piya sudah tidak lagi bersama skuad Singa Utara.

Selain Safee, Shahril dan Piya, dua lagi pemain berkemungkinan besar bakal turut serta meninggalkan pasukan jika isu tunggakan gaji ini masih gagal untuk diselesaikan. Dua pemain yang dimaksudkan ialah Khyril Muhymeen dan Nasriq Baharom.

Baca Juga: Presiden PFA Hanya Mahu Uruskan Pasukan

Leave a Reply