Sumber Gambar: Pahang FA

Ketua jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh tidak mahu pemain yang tidak disenaraikan dalam skuad 18 pemain bagu menghadapi perlawanan Liga Malaysia musim ini berkecil hati.

Menurut Dollah, sikap tersebut perlu dibuang kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada diri mereka sendiri jika ia dibiarkan mengganggu fikiran sebaik nama tidak disenaraikan.

“Bagi saya, bukan tugas mudah untuk menyenaraikan 18 pemain kerana semua pemain memberi sepenuh komitmen setiap kali latihan.

“Sebagai jurulatih, saya perlu membuat keputusan tepat dan tidak sesekali cuba memainkan perasaan pemain kerana mahukan yang terbaik setiap kali perlawanan.

“Oleh itu, saya tidak mahu ada pemain rasa terkilan dan kecil hati jika tidak disenaraikan, sebaliknya mereka perlu lebih bekerja keras untuk menyakinkan saya bahawa mereka yang sebelum ini tidak disenaraikan dalam 18 pemain ini juga mampu memberikan yang terbaik,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pahang akan turun menentang pasukan Terengganu FC pada perlawanan minggu kedua Liga Super 2019 dan Dollah menegaskan beliau tidak mahu anak-anak buahnya terlalu selesa selepas mencatat kemenangan pada perlawanan pertama dengan menewaskan pasukan Kuala Lumpur dengan keputusan 3-1.

Biarpun motivasi pemain kini tinggi selepas mencatat kemenangan pertama di Stadium KLFA, namun Dollah berpendapat pemainnya perlu menilai kekuatan setiap lawan yang bakal dihadapi.

“Bagi saya tiga gol yang dijaringkan pada perlawanan pertama adalah petanda positif buat pasukan dan mereka diharap mengekalkan prestasi itu dengan meneruskan penyudah tepat untuk bantu kita mengutip mata kemenangan,” tambahnya.

Dua pemain Pahang iaitu Dickson Nwakaeme dan Saddil Ramdani bakal menjadi tumpuan pada perlawanan malam ini setelah kedua-dua pemain import ini menampilkan persembahan cemerlang pada perlawanan pertama.

Kepantasan yang dimiliki oleh pemain skuad bawah 23 tahun Indonesia ini bakal menjadi senjata utama skuad Tok Gajah untuk mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Terengganu FC.

Manakala Dickson Nwakaeme pula akan ditugaskan untuk merobek gawang pasukan lawan sekaligus memberikan kemenangan kedua buat Pahang.

Baca Juga: Adakah Pemberian Tiket Percuma Masih Relevan?

Leave a Reply