Sumber Gambar: The Malaysia Reserves

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi bayangan bahawa Pengurus Besar Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) akan diisi oleh calon dari luar negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, proses pelantikan Pengurus Besar PMOM dan beberapa calon dari luar negara kini berada dalam penilaian mereka, sekaligus semakin hampir untuk merealisasikan pembentukan satu badan bebas pengadil bertaraf profesional.

“Kita sudah ada calon tetapi beliau sedang melihat sama ada boleh terima bekerja di luar negara atau tidak.

“Jadi kita kena tunggu dan bagi sedikit masa kerana calon-calon untuk menjadi pengurus besar PMOM sangat terhad dan apa yang saya dapat lihat orang yang ada pengalaman sebagai pengadil memang ramai namun kita juga mahu calon yang memiliki pengalaman dalam pengurusan.

“Kita ada tiga atau empat calon tetapi kita sudah fokus kepada seorang calon utama yang memiliki pengalaman luas.

“Katakan beliau boleh terima bekerja di Malaysia kemudian barulah kami boleh berbincang mengenai kontrak atau sebagainya.

“Jadi langkah pertama adalah memastikan sama ada beliau boleh berpindah ke Malaysia atau tidak,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Sejak akhir-akhir ini, mutu pengadilan Liga Malaysia menjadi kritikan ramai pihak dimana pengadil sedia ada dianggap tidak menepati kualiti yang diperlukan bagi mengadili perlawanan.

Perkara ini akhirnya menimbulkan rasa ketidakpuasan hati ramai pihak yang mendesak agar MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera menswastakan Unit Pengadilan di bawah kawalan FAM sebagai badan bebas.

Bagi merealisasikan hasrat itu, delegasi FAM dan MFL memutuskan untuk berangkat ke United Kingdom pada 27 Januari lalu bagi mengadakan pertemuan bersama Professional Game Match Officials Limited (PGMOL) di negara itu.

Baca Juga: Semua Pihak Perlu Main Peranan – Datuk Windsor John

Leave a Reply