Sumber Gambar: FA Selangor

Pasukan Selangor masih lagi gagal untuk mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila mereka diikat oleh Petaling Jaya City FC dengan keputusan 1-1 semalam. Selepas perlawanan tersebut, penyokong Selangor mengkritik persembahan pemain import pasukan, Antonio German.

Selangor dijangka tidak akan berdepan masalah untuk mencatat kemenangan ketika berdepan PJ City FC kerana mereka dibarisi ramai pemain bintang berbanding lawan mereka. Namun, jangkaan itu meleset sama sekali.

Pemain Selangor gagal untuk memanfaatkan peluang terhidang di hadapan pintu gol lawan. Paling mengecewakan ialah prestasi yang ditampilkan oleh Antonio German.

German dilihat enggan untuk membantu rakan sepasukan ketika Selangor diasak pemain PJ City. German enggan untuk turun ke bawah dan beliau membiarkan pemain tengah lawan memegang bola sekaligus mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Selangor.

Perkara ini tidak hanya berlaku pada separuh masa pertama. German gagal untuk memperbaiki penampilan beliau pada separuh masa kedua dan bukan hanya penyokong yang berang dengan persembahan beliau, malah rakan sepasukan juga kecewa dengan prestasi German.

Paling ketara ialah pemain pertahanan kiri, K.Prabakaran terpaksa membuat double work untuk menutup ruang yang ditinggalkan oleh German.

Akhirnya, pada minit ke-60, German dikeluarkan dan digantikan dengan Nurridzuan Abu Hassan. Corak permainan Selangor dilihat sedikit meningkat dimana mereka mula memberikan asakan ke arah kubu pertahanan pasukan lawan.

Jika German gagal untuk memperbaiki prestasi beliau pada perlawanan Liga Super yang seterusnya, tidak mustahil bekas pemain Queen Park Rangers ini bakal digugurkan dan digantikan dengan pemain import yang lain.

Pemain tengah Selangor, Faiz Nasir sekali lagi menjadi wira pasukan dimana aksi lincah beliau berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan PJ City sekaligus memperoleh sepakan penalti 5 minit sebelum masa perlawanan tamat.

Ketua pasukan, Rufino Segovia berjaya menyempurnakan sepakan penalti itu sekaligus memberikan satu mata kepada pasukan Selangor.

Pasukan bimbingan B.Sathianathan ini akan menentang pasukan PKNS FC di Stadium Shah Alam pada perlawanan Liga Super 2019 minggu ketiga.

Baca Juga: Jadikan Kuantan FA Sebagai Pengajaran

Leave a Reply