Sumber Gambar: PNL

Ketua jurulatih pasukan Perlis, Manzoor Azwira memuji sikap dan karakter pemain Perlis dimana mereka sentiasa positif tatkala persatuan sedang dilanda masalah dalaman berkenaan bayaran gaji pemain.

Menurut Manzoor, pemain tetap bersemangat ketika sesi latihan dan juga perlawanan sebenar seolah-olah tiada masalah yang sedang melanda pasukan.

Manzoor turut lega skuad Singa Utara berjaya meraih tiga mata pertama dalam saingan Liga Perdana musim ini.

“Saya lihat pasukan ada menunjukkan peningkatan dan di sebalik pelbagai dugaan yang diharungi, saya gembira kerana pemain saya memiliki sikap dan karakter yang sangat baik.

“Dengan kesungguhan yang ditunjukkan, saya rasa itu antara faktor yang menjadi pemangkin buat Perlis dalam meraih kemenangan pada malam ini,” kata Manzoor menurut laporan Berita Harian.

Perlis berjaya menundukkan pasukan UiTM FC dengan keputusan 3-0 pada aksi minggu kedua Liga Perdana di Stadium UiTM Shah Alam, Jumaat lalu.

Manzoor turut mengakui kemenangan ke atas UiTM itu dapat meredekan sedikit tekanan yang sedang dihadapi oleh pasukan.

Pada masa yang sama, Manzoor turut mengulas mengenai pemain import pasukan dimana beliau menjelaskan skuad kendaliannya masih perlu memperbaiki keserasian dan belum mencapai tahap yang dimahukan olehnya.

“Dalam dua perlawanan setakat ini, saya belum lagi nampak persembahan mereka seperti yang saya harapkan tetapi saya yakin mereka akan bertambah baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

“Saya sudah memiliki barisan pemain terbaik cuma saya perlu pastikan mereka kekal cergas dan sentiasa bersedia untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan,” tambahnya.

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) baru-baru ini meminta Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk menyediakan dokumen mengenai status kewangan pasukan setelah persatuan itu masih lagi gagal untuk menjelaskan gaji pemain bagi musim 2019.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie menyatakan pihaknya tiada masalah untuk menyediakan dokumen yang diminta MFL dan memberikan jaminan akan segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Baca Juga: Aksi Terakhir Pemain Bintang Skuad Singa Utara?

Leave a Reply