Sumber Gambar: Pahang FA

Umum mengetahui, pasukan Pahang berjaya menjinakkan pasukan Terengganu FC dengan jaringan 3-0. Perlawanan yang dihadiri puluhan ribu penyokong setia skuad Tok Gajah itu digamatkan dengan gol pembukaan dari pemain import sensasi yang diberi gelaran “Orang Besi”, Dickson Nwakaeme pada minit ke-13 yang menerima hantaran lintang Mohamadou Sumareh. Pahang menguasai sebahagian besar perlawanan dan menamatkan 45 minit pertama dengan keputusan 1-0.

Sebaik separuh masa kedua dimulakan, Herold Goulon menggandakan gol buat pasukan Pahang pada minit ke-51 melalui tandukan hasil sepakan penjuru Saddil Ramdani. Pasukan Terengganu cuba untuk menggerakkan serangan ke kubu pertahanan Pahang namun ia hanya menemui jalan buntu.

Bilamana perlawanan dilihat akan berakhir dengan keputusan 2-0, Norshahrul Idlan Talaha yang masuk menggantikan Jose Eduardo berjaya menyudahkan umpanan Dickson Nwakaeme yang berjaya mengkucarkan kacirkan benteng pertahanan pasukan Terengganu. Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-0.

Selepas meledak dua gol pada perlawanan menantang Kuala Lumpur, Dickson Nwakaeme sekali lagi membuktikan kredibiliti beliau sebagai seorang pemain import yang berkaliber dengan menyumbang satu gol dan satu assist pada perlawanan malam tadi.

Gol yang disumbangkan oleh beliau tentunya lebih bermakna kerana ia dijaringkan di laman sendiri di hadapan puluhan ribu penyokong Pahang. Dickson Nwakaeme tampak selesa untuk melakukan gerakan bilamana beliau dibantu oleh kelincahan Jose Eduardo yang bijak merencanakan serangan dari bahagian tengah bersama-sama Azam Azih dan Safuwan Baharuddin. Selepas dua perlawanan, Dickson Nwakaeme telah mencatatkan tiga gol dan satu assist.

Secara keseluruhannya, pasukan Pahang berjaya mengekalkan momentum kemenangan pada perlawanan sebelumya untuk mencatat keputusan yang positif pada malam tadi. Tiga gol, tiga mata dipungut dan clean sheet adalah satu keputusan yang wajar untuk diberikan pujian.

Namun begitu, gameplay pada perlawanan menentang Kuala Lumpur adalah lebih menarik berbanding perlawanan kali ini. Tetapi, kemenangan tetap disambut sebgai satu kemenangan. Tinggal lagi, Dollah Salleh perlu perhalusi setiap kelemahan yang telah dipamerkan dan memperbaikinya sebagai persediaan untuk berdepan Melaka United pada perlawanan seterusnya.

Nota: Artikel ini ditulis oleh Saudara Zul Effandi. Jika anda mempunyai artikel untuk dikongsikan, hubungi kami menerusi media sosial Inikan Bola.

Baca Juga: MFL Cari Calon Dari Luar Negara

Leave a Reply