Sumber Gambar: Malaymail.com

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata persatuan itu sepatutnya melangsaikan hutang terlebih dahulu sebelum menabur janji manis kepada pemain dan berbelanja besar bagi mempersiapkan pasukan bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut Datuk Shahidan, pengurusan baru dibawah pimpinan Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie sepatutnya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalahkan pihak lain sekiranya pemain berjumpa dengan media dan membuat kenyataan bagi menuntut gaji mereka.

Selain menggesa PFA untuk bersikap profesional, Datuk Shahidan turut menyatakan gaji pemain merupakan perkara asas yang seharusnya diberikan perhatian oleh PFA sebelum mereka membuat sebarang perancangan yang lebih besar.

“Zaman sekarang bukan zaman ‘you’ berjanji macam-macam pada orang. Dia (Ahmad Amizal) kena bayar dan ambil tanggungjawab inilah (bayar gaji).

“Saya dahulu sampai berhutang dengan banyak pihak semata-mata untuk bayar gaji pemain. Mana boleh kita tidak bayar gaji mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Berikutan isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh PFA, presidennya, Datuk Amizal memberi jaminan masalah tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat dan meminta media untuk tidak lagi membahas dan memperbesarkan isu terbabit.

Datuk Amizal berpendapat isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh PFA tidak sepatutnya diperbesarkan kerana ia dilihat menjadi punca perancangan persatuan berkenaan terjejas. Untuk makluman, PFA kehilangan empat penaja besar dimana mereka memutuskan untuk menarik diri kerana masalah yang dihadapi oleh persatuan itu.

Tambah Datuk Seri Shahidan, beliau akan kagum sekiranya Datuk Ahmad Amizal dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan bola sepak Perlis seperti sebelum ini.

”Saya tak kenal dia (Ahmad Amizal) tapi jika dia boleh mengembalikan zaman kegemilangan Perlis seperti dahulu kira hebatlah.

“Namun jika dia menipu, dia kena tanggunglah akibatnya. Nasihat saya, PFA kena cari penaja dahulu dan bekerjasama dengan kerajaan negeri,” tambahnya.

Sehingga kini, pemain yang dibawa masuk bagi membarisi pasukan untuk saingan musim 2019 masih lagi belum menerima gaji pertama mereka.

Baca Juga: Sikap Dan Karakter Pemain Mantap – Manzoor Azwira

Leave a Reply