Sumber Gambar: Kedah FA

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menegaskan mereka mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak memberi pelepasan kepada pemain muda, Mohd Fazrul Danel Mohd Nizam menyertai skuad bawah 22 tahun negara.

KFA menepis tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan mereka tidak melepaskan Danel kerana berdendam dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan isu perpindahan Akhyar Rashid yang menyertai Johor Darul Ta’zim sebelum musim baru Liga Malaysia bermula.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menjelaskan khidmat Fazrul Danel sangat diperlukan oleh ketua jurulatih pasukan, Aidil Shahrin Sahak bagi mengharungi peringkat awal saingan Liga Super.


Sumber Gambar: Kedah FA

Asmirul juga mengatakan pihaknya sudah memaklumkan secara rasmi kepada FAM mengenai keputusan untuk tidak memberi pelepasan kepada Fadzrul.

“Buat masa ini barisan kejurulatihan sangat memerlukan dia (Mohd Fadzrul) untuk saingan liga kerana semua tahu yang Kedah masih dalam proses memantapkan pasukan.

“Bukan sebab dendam (kes Akhyar), kami di pihak pengurusan KFA profesional dan FAM juga profesional. Malah, kami berhubung dengan baik bersama FAM dalam urusan lain.

“Pasukan Kedah tahun ini masih baharu, keserasian antara pemain pun tidak kuat sangat dan mungkin selepas ini kami akan bagi kerjasama buat FAM untuk melepaskan pemain yang dipanggil,” katanya kepada Berita Harian.

Sebelum ini, KFA tidak berpuas hati dengan FAM kerana badan induk bola sepak negara itu membuat keputusan dimana mereka menetapkan nilai pampasan latihan sebanyak RM75,000 yang perlu dibayar oleh mana-mana pasukan untuk mendapatkan khidmat Akhyar.

KFA berpendapat jumlah tersebut terlalu rendah dan beranggapan mereka wajar mendapat pampasan yang lebih tinggi.

Keputusan FAM itu membuatkan KFA membawa permasalahan ini ke pengetahuan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan sehingga kini, kes tersebut masih belum selesai.

Selain Fazrul Danel, empat lagi pemain turut tidak mendapat pelepasan daripada pasukan negeri serta kelab masing-masing. Empat pemain yang dimaksudkan ialah Muhammad Danial Amier Norhisham, Muhammad Zahril Azri Zabri (FELDA United), Mohd Faisal Abdul Halim (Pahang) dan Syahmi Safari (Selangor).

Baca Juga: OKS Berang Dengan Tindakan Tengku Hazman

Leave a Reply