Sumber Gambar: Perak TBG

Ketua jurulatih pasukan Perak, Mehmet Durakovic menggesa pemainnya terutama pemain muda untuk menyinar sekaligus menampilkan prestasi cemerlang pada perlawanan kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 menentang kelab Hong Kong, Kitchee FC.

Juara Piala Malaysia 2018 ini akan membuat debut dalam saingan ACL dan Mehmet mahukan pemain beliau untuk memanfaatkan sepenuhnya penampilan pertama ini bagi mendapatkan pengalaman yang berharga.

“Perak pernah beraksi dalam saingan Piala AFC sebelumnya tetapi kali ini (ACL) pentasnya lebih besar. Saya pernah bermain dan juga membimbing pasukan dalam saingan ini namun sebahagian besar pemain Perak tidak pernah beraksi di pentas sebesar ini.

“Kitchee adalah satu pasukan yang berpengalaman dan mereka mempunyai pemain pemain import yang berkualiti. Tetapi kami sudah mengenali mereka dan kita mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kami boleh menampilkan persembahan terbaik jika boleh mengatasi rasa gementar. Pemain muda seperti Fie (Firdaus Saiyadi) dan Beto (Ahmad Khairil) harus belajar daripada pengalaman ini,” kata Mehmet kepada The Star.

Sejak pertengahan musim 2018, Firduas Saiyadi tampil menyinar dimana beliau berjaya mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan Perak. Musim ini, Firdaus terus diberi kepercayaan di samping Beto untuk menggalan cabaran pasukan Perak.

Pada masa yang sama, penyerang import Kitchee, Lucas Silva mengatakan cuaca panas di Malaysia bukanlah satu masalah buat beliau.

“Malaysia sama seperti Brazil. Jadi cuaca panas bukan satu masalah buat saya. Kami yakin dengan peluang kami dan matlamat kami ialah menentang pasukan Korea di peringkat play-off nanti,” kata Lucas.

Ketua jurulatih Kithcee, Alex Chu Chi Kwong pula menegaskan pemainnya perlu memberikan tumpuan kepada pemain import Perak, Gilmar Da Silva.

“Kami pernah bermain di Malaysia tiga tahun lalu ketika menghadapi pasukan Kelantan dalam saingan Piala AFC. Pasukan Perak mempunyai kepantasan dan kita perlu memberikan perhatian kepada pemain nombor 9 mereka (Gilmar).

“Beliau tinggi, kuat dan mampu untuk memegang bola dengan baik. Ianya akan menjadi perlawanan yang bagus buat peminat namun saya mahu pasukan saya untuk mara ke peringkat seterusnya,” kata Alex.

Pemenang pada perlawanan malam ini akan menentang kelab dari K League, Ulsan Hyundai di peringkat play-off.

Baca Juga: Marko Simic Berdepan Tuduhan Menyerang Wanita

Leave a Reply