Sumber Gambar: FA Selangor

Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan menegaskan beliau masih menaruh keyakinan terhadap kemampuan pemain import pasukan, Antonio Timothy German meskipun menampilkan prestasi kurang meyakinkan pada dua perlawanan Liga Super sebelum ini.

Menurut Sathia, beliau akan menegur German namun teguran yang akan diberikan merupakan teguran biasa sebagai jurulatih dan bukannya amaran keras kerana beliau mengetahui bekas pemain Queens Park Rangers (QPR) mampu memberikan aksi yang lebih baik.

Faktor pertama kali beraksi dalam saingan Liga Malaysia serta terpaksa beraksi dalam keadaan padang yang becak menjadi alasan Sathia mengapa German gagal untuk mempamerkan taring sebenar.

“Saya tak akan bagi amaran. Saya akan nasihat dia kerana perlawanan pertama (berdepan FELDA United) dan aksi persahabatan dia bermain dengan baik.

“Pada awal musim kita tidak boleh terlampau cepat menghukum pemain. Macam Antonio, saya akan tegur dia kerana saya tahu permainan Antonio lebih baik daripada apa yang diberikan.

“Sebagai jurulatih, saya tahu dia akan perbaiki dan dia boleh beraksi lebih baik. Tapi kalau dia main dua atau tiga perlawanan seterusnya seperti ini, memanglah saya kena ambil tindakan,” kata Sathia menurut laporan Berita Harian.

German menerima kritikan pedas daripada penyokong setia Selangor setelah perlawanan kedua menentang Petaling Jaya City FC minggu lalu dimana beliau dilihat enggan untuk membantu rakan sepasukan ketika bertahan dan juga mudah diatasi apabila berdepan dengan situasi satu lawan satu dengan pemain lawan.

Ada sesetengah peminat yang menggesa Antonio German digugurkan daripada kesebelasan utama dan digantikan dengan pemain tempatan seperti Nurridzuan Abu Hassan dan Sean Eugene Selvaraj.

Sathia turut mengulas mengenai keputusan seri yang dicatat oleh Selangor pada perlawanan kedua liga. Menurut bekas pengendali Felda United ini, pemainnya sedikit gopoh dan perkara tersebut telah menyebabkan skuad Gergasi Merah gagal untuk mencatat kemenangan.

“Bagi saya, sepatutnya kita menang, tapi pemain ‘nombor 5’ PJ City (Elizeu Araujo) bermain dengan baik. Kita juga sebenarnya belum menunjukkan tahap kemampuan sebenar.

“Mungkin semua (pemain) terdesak nak jaringkan gol, atau semua nak tunjuk mereka boleh hasilkan jaringan dan tak tenang depan gol. Babak pertama kita ada peluang, tapi kadang-kadang kita gopoh.

“Jadi saya nak lihat perlawanan akan datang berdepan PKNS, mereka (pemain) memperbaiki semua aspek terutama dalam situasi bola mati,” tambahnya.

Baca Juga: Selangor Perlu Segera Temui Rentak

Leave a Reply