Sumber Gambar: MFL

Kesilapan ketikan penyampaian maklumat menyebabkan ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee tidak mendapat sebarang maklumat mengenai pemain Terengganu FC (TFCII) yang dipanggilnya bagi menyertai latihan pusat skuad Bawah 22.

Perkara ini disuarakan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang menjelaskan TFC II sebenarnya tidak berdepan sebarang masalah untuk melepaskan pemain mereka bagi menyertai skuad kebangsaan.

“Saya mendapat makluman daripada pihak TFCII yang menyatakan masalah itu lebih kepada kesilapan penyampaian maklumat dan bukannya mereka enggan melepaskan pemain. Mungkin ketika itu interaksi adalah antara sesama jurulatih jadi mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan,” kata Yusoff menurut laporan Berita Harian.

“Jurulatih perlu menunggu keputusan daripada pihak pengurusan terlebih dahulu sama ada boleh atau tidak untuk melepaskan pemain. Jadi pada saya, tidak timbul isu TFCII enggan melepaskan pemain namun ia hanya disebabkan sedikit salah faham yang berlaku.

“Kita melihat perlunya kemaskini untuk berhubung dengan pasukan negeri dan kita akan berhubung secara terus menerusi persatuan itu sendiri ataupun Setiausaha Agung untuk mendapatkan khidmat pemain yang diperlukan bagi skuad kebangsaan.

“Ini juga dapat meningkatkan lagi persefahaman antara pasukan dan juga FAM bagi menghasilkan keputusan yang lebih baik. Kita perlu meneruskan hubungan yang mesra seperti ini.”

Sebelum ini, Datuk Ong Kim Swee menyatakan beliau kecewa dengan ketua jurulatih TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan kerana tidak memberikan maklum balas terhadap panggilan beliau.

OKS menegaskan beliau menelefon dan menghantar pesana ringkas bertujuan untuk menanyakan mengenai pemain TFC II yang mahu beliau panggil untuk menyertai skuad bawah 22 tahun negara. Namun usaha Kim Swee sia-sia kerana panggilan beliau langsung tidak mendapat reaksi balas daripada Tengku Hazman.

Ketika ini, Datuk Ong sedang membuat persiapan menjelang kejohanan AFF Bawah 22 Tahun yang akan bermula pada Ahad ini. Namun, seperti biasa, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapat pemain yang beliau inginkan untuk memperkuatkan pasukan negara.

Baca Juga: OKS Berang Dengan Tindakan Tengku Hazman

Leave a Reply