Sumber Gambar: Sukan Sinar

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menggesa pasukan yang terlibat dengan isu tunggakan gaji untuk tidak menggunakan geran tahunan mereka bagi melangsaikan hutang. Bahkan MFL tidak teragak-agak untuk menyekat geran tahunan jika pasukan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, tindakan itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan pasukan yang menghadapi isu tunggakan gaji menggunakan geran tahunan yang diberikan MFL bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Kevin berkata krisis kewangan tidak akan selesai jika pasukan bergantung sepenuhnya kepada geran tahunan yang diberikan. Pasukan perlu mencari jalan penyelesaian bagi melangsaikan hutang kepada pemain dan para pegawai.

“Kepada mereka yang menunggu geran tahunan daripada MFL untuk menyelesaikan hutang pemain boleh tunggu sampai bila-bila. Untuk pengetahuan, geran tahunan ini adalah bagi musim 2019.

“Jika kami memberikan geran tahunan ini kepada pasukan terlibat (dengan masalah tunggakan gaji) kemudian mereka menggunakan geran tahunan ini untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka pada tahun lalu, apa yang akan berlaku pula untuk musim 2019?

“Jadi masalah tidak akan selesai. Malah, kita hanya mengalami kitaran sama sahaja. Perkara ini harus dihentikan. Mereka wajib menyelesaikan dahulu tunggakan gaji sebelum MFL memberikan geran tahunan bagi musim 2019 kepada mereka,” katanya menurut laporan Vocket FC.

Pada masa yang sama, Kevin memberitahu tindakan yang akan diambil kepada pasukan gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji adalah pemotongan mata liga atau penyingkiran divisyen liga lebih bawah.

Namun, perkara ini perlu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Harus diingat, apa saja keputusan yang diambil nanti adalah keputusan semua pasukan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mewakili semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia. Ia bukan keputusan saya atau pihak sekretariat MFL,” tambahnya.

Sebanyak enam pasukan diarah untuk segera melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan dimana Felda United menjadi pasukan yang mempunyai hutang terbesar berjumlah RM1.3 Juta. Selain Felda, lima lagi pasukan ialah Perlis, Kuantan FA, PDRM, Hanelang FC dan Terengganu City FC.

Baca Juga: MFL Sedia Beri Keistimewaan

Leave a Reply