Sumber Gambar: MFL

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedia memberi keistimewaan kepada pasukan yang melepaskan pemain mereka untuk menyertai skuad kebangsaan.

Perkara ini disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam setelah ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee berdepan kesukaran untuk memanggil pemain bagi menyertai pasukan negara bagi menghadapi kejohanan antarabangsa selepas tidak mendapat pelepasan dari pasukan negeri dan kelab masing-masing.

Menurut Kevin, beberapa cadangan akan diketengahkan di dalam Mesyuarat Lembaga MFL bagi membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekaligus memberi sokongan kepada pasukan negara tanpa mengira peringkat usia.

“Kita sedang melihat cara untuk MFL membantu skuad kebangsaan jadi kita akan membawa beberapa cadangan ke dalam Mesyuarat Lembaga MFL dan memberi beberapa keistimewaan kepada mana-mana pasukan yang bersedia untuk melepaskan pemain mereka.

“Kita tidak boleh memaksa pasukan untuk melepaskan pemain tetapi sebagai badan pengendali liga, kita melihat agenda kebangsaan dan kejayaan pasukan kebangsaan sebagai satu perkara yang amat penting.

“Ini adalah sekadar cadangan yang boleh diketengahkan dan akan dibincangkan nanti. Jika pasukan sedia lepaskan pemain menyertai skuad kebangsaan, mungkin mereka akan diberi kebenaran untuk mendaftarkan 35 pemain dan bukannya hanya 30 pemain seperti yang sedia ada.

“Apapun, banyak lagi yang perlu difikirkan sekiranya ia mahu dilaksanakan. Cadangan ini tetap memerlukan persetujuan pasukan dan kalau sebilangan besar pasukan menyokong idea ini, mungkin ia boleh diluluskan,” kata Kevin menurut laporan Berita Harian.

Menjelang kejohanan AFC Bawah 22 Tahun di Kemboja, Datuk Ong Kim Swee menghadapi kesukaran apabila beliau tidak dapat menggunakan khidmat lima pemain utama kerana masalah pelepasan daripada pasukan masing-masing.

Lima pemain yang dimaksudkan ialah Fai­sal Abdul Halim (Pahang), Syahmi Safari (Selangor), Fadzrul Danel Nizam (Kedah) serta Muhammad Danial Amier Norhi­sham dan Muhammad Zahril Azri (Felda United).

Setakat ini, Datuk Ong memanggil dua pemain iaitu Muhamad Danish Haziq Saipul Hisham (Negeri Sembilan) dan K.Thivendran (PJ City) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Baca Juga: OKS Berang Dengan Tindakan Tengku Hazman

Leave a Reply