Sumber Gambar: FA Selangor

Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan menekankan tiada sebarang sentimen peribadi apabila beliau bakal berdepan Datuk K.Rajagopal apabila Selangor menentang pasukan PKNS FC dalam saingan Liga Super 2019 minggu yang ketika pada Ahad ini.

Sathia dan juga K.Rajagopal mempunyai kredibiliti dan juga pengalaman yang hampir sama dimana kedua-dua jurulatih ini pernah mengendalikan pasukan kebangsaan. Rajagopal pernah memenangi Piala AFF Suzuki pada 2010 manakala Sathia pula pernah menjulang Pesta Bola Merdeka pada 2007.

Menurut Sathia, kedua-dua jurulatih sememangnya mempunyai kelebihan dan juga kualiti yang tersendiri namun yang akan membuat perbezaan pada perlawanan Ahad nanti bukanlah sentimen peribadi melainkan para pemain yang diturunkan.

“Kebanyakannya terpulang kepada pemain.

“Dalam soal persiapan dan percaturan sepanjang minggu ini, tanggungjawabnya digalas jurulatih tetapi akhirnya apabila di atas padang, 11 pemain yang akan menentukan (keputusan perlawanan),” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Setakat dua perlawanan Liga, kedua-dua pasukan masih belum mencatat sebarang kemenangan dimana Selangor hanya mampu mengutip dua mata manakala PKNS FC pula hanya meraih satu mata.

Sathia jelas tidak berpuas hati dengan prestasi pemain dan beliau mahukan kecemerlangan dua pemain iaitu Syahmi Safari dan Faiz Nasir untuk diteruskan sambil menyeru pemain import pasukan khususnya di bahagian serangan untuk mula mempamerkan taring sebenar mereka.

“Kami agak bimbang dengan keadaan Taylor Regan yang mengalami kecederaan ketika bertemu Petaling Jaya City FC hujung minggu lalu.

“Antonio German pula masih belum pulih daripada demam biarpun diturunkan ketika menghadapi Petaling Jaya. Tetapi akibat terlalu ingin bermain, dia gagal menampilkan prestasi terbaik.

“Kalau diturunkan selepas ini, saya harap dia dapat menunjukkan prestasi yang sama seperti perlawanan pertama (bertemu Felda United),” tambah Sathia.

Baca Juga: Sathia Masih Yakin Dengan Antonio German

Leave a Reply