Sumber Gambar: Kelantan FA Official

Tindakan pasukan Kelantan yang melepaskan beberapa pemain muda mereka untuk menyertai skuad bawah 22 tahun negara bagi menghadapi kejohanan AFF Bawah 22 Tahun di Kemboja merupakan tanda sokongan mereka terhadap pasukan kebangsaan.

Kelantan melepaskan seramai lima pemain iaitu Nik Akif Syahiran Nik Mat, Muhammad Danial Haqim Draman, Muhamad Shahrul Nizam, Nik Azli Nik Alias dan juga pemain pinjaman dari PKNS FC, Damien Lim.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd Ahmad Fazli Mohammad berkata selain menzahirkan tanda sokongan kepada pasukan negara, langkah tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pemain muda pasukan itu bagi mematangkan lagi kualiti serta corak permainan pasukan.

“KRW sentiasa terbuka untuk memberikan pelepasan kepada mana-mana pemain TRW yang dipanggil untuk bersama pasukan kebangsaan kerana ia adalah tugas pada negara.

“Kami berpandangan ia tidak merugikan pasukan, sebaliknya ia merupakan pelan jangka panjang yang akan menguntungkan TRW pada masa depan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Fazli, memberikan pelepasan kepada pemain untuk menyertai pasukan kebangsaan akan memberikan mereka peluang untuk mengutip seberapa banyak pengalaman di pentas antarabangsa sekaligus dapat memberikan lebih keyakinan kepada mereka untuk bermain bersama pasukan Kelantan.

Saingan di pentas antarabangsa nyata berbeza dengan saingan di peringkat kelab dimana pemain bakal berhadapan dengan pemain daripada pasukan yang mempunyai kualiti yang lebih tinggi seperti Thailand dan Vietnam.

“Saya berpandangan ia tidak akan memberikan masalah kepada TRW untuk mengharungi saingan Liga Perdana selepas ini.

“Kami masih ada pemain yang boleh mengisi kekosongan ditinggalkan oleh mereka berlima,” ujarnya.

Bagi menghadapi kejohanan AFF bawah 22 tahun edisi kali ini, ketua jurulatih pasukan, Datuk Ong Kim Swee sememangnya berdepan dengan isu pelepasan pemain dimana beliau tidak dapat menggunakan khidmat lima pemain utama.

Malah, beberapa pemain sedia ada dikhabarkan mengalami kecederaan di mana Nik Akif Syahiran masih belum pasti sama ada beliau bakal beraksi bersama pasukan pada kejohanan tersebut atau sebaliknya.

Baca Juga: MFL Sedia Beri Keistimewaan

Leave a Reply