Sumber Gambar: Bernama

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak teragak-agak untuk menggantung geran tahunan pasukan yang gagal untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

MFL memberi tempoh sehingga Jumaat ini bagi tujuh pasukan yang menghadapi masalah gaji untuk menghantar laporan kewangan pasukan. Jika gagal berbuat demikian, maka mereka boleh melupakan habuan yang sepatutnya diterima setiap tahun.

Biarpun MFL tidak menyatakan jumlah yang sepatutnya diterima oleh pasukan berkenaan musim ini, namun berdasarkan pembayaran tahun lalu, pasukan Liga Super akan menerima RM3 juta manakala RM1 juta untuk mereka yang beraksi di Liga Perdana.

“Jangan bermimpi. Kepada pasukan yang menunggu (geran) untuk bayar hutang, itu tidak akan terjadi.

“Jika kami beri geran tahunan ini kepada pasukan terlibat (dengan masalah tunggakan gaji) kemudian mereka menggunakannya untuk menyelesaikan tunggakan gaji tahun lalu, apa yang akan berlaku pula untuk musim 2019?

“Jadi masalah tidak akan selesai, malah kita hanya mengalami kitaran sama.

“Perkara ini harus dihentikan dan mereka wajib menyelesaikan dahulu tunggakan gaji sebelum MFL memberi geran tahunan musim 2019,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Kevin Ramalingam menurut laporan Berita Harian.

Walaupun MFL tidak menyatakan tujuh pasukan yang dimaksudkan di atas, namun pasukan seperti Felda United, PDRM FA, Kuantan FA, Hanelang FC, Terengganu City FC dan Kelantan antara pasukan yang ketika ini sedang berdepan dengan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Tambah Kevin, selain berdepan sekatan geran tahunan, pasukan yang gagal menyelesaikan tunggakan gaji pemain juga berisiko dipotong mata atau disingkirkan ke liga bawahan.

Begitupun, Kevin menegaskan bahawa keputusan tidak akan dibuat sewenang-wenangnya tetapi perlu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Harus diingat, apa saja keputusan yang diambil nanti adalah keputusan semua pasukan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mewakili semua pasukan yang bertanding dalam Liga M.

“Mungkin ada pihak di luar sana seperti sesetengah ‘raja’ di Twitter yang kata setiap perkara CEO MFL kena bertanggungjawab dan letak jawatan.

“Ia bukan keputusan saya atau pihak sekretariat MFL tetapi mengikut apa yang telah ditetapkan,” tambahnya.

Baca Juga: MFL Sedia Beri Keistimewaan

Leave a Reply