Sumber Gambar: Perak TBG

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menyatakan pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menolak permintaan mereka untuk diberikan kelonggaran dalam jadual Liga Malaysia kerana mereka terikat dengan komitmen Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Perkara ini disahkan oleh Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dimana pihaknya meminta kelonggaran untuk menunda satu perlawanan ke satu tarikh baru jika pasukan Perak terpaksa menghadapi lebih daripada dua perlawanan dalam seminggu.

“Kita sudah membuat permintaan kepada MFL supaya menimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada pasukan Perak iaitu boleh `bercuti’ dalam satu perlawanan (jika bertembung lebih dua perlawanan seminggu), dan digantikan pada hari lain yang ditetapkan kemudian,” kata Ahmad Faizal menurut laporan Berita Harian.

“Tetapi permintaan ini tidak mendapat kelulusan kerana MFL juga menghadapi masalahnya sendiri dan terikat dengan jadual perlawanan yang sudah disusun lebih awal.”

Menurut Datuk Ahmad Faizal, tiga perlawanan dalam tempoh seminggu boleh menjejaskan tahap kecergasan pemain namun juara Piala Malaysia 2018 itu tidak mempunyai pilihan selain meraih cuba untuk mata dalam saingan Liga Super dan cuba untuk melangkah ke peringkat kumpulan saingan Liga Juara-Juara Asia 2019.

“Ketika menentang Kedah Jumaat lalu rasa macam nak kalah tetapi akhirnya berjaya mengutip satu mata…bersyukur kami menang perlawanan malam tadi menentang Kitchee SC, dan lusa pula bertandang ke tempat lawan menentang Kuala Lumpur,” tambahnya.

Setelah berjaya menundukkan kelab dari Hong Kong, Kithcee FC menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan peringkat kelayakan kedua, pasukan bimbingan Mehmet Durakovic akan menentang kelab dari Korea Selatan, Ulsan Hyundai di peringkat play-off.

Hafizul Hakim sekali lagi menjadi wira pasukan apabila menyelamatkan dua sepakan pemain Kitchee. Pemain gantian, Kenny Pallraj kemudiannya menyempurnakan sepakan terakhir sekaligus memastikan Perak mara ke pusingan kelayakan yang seterusnya.


Sumber Video: MSuper League

Jika berjaya menewaskan Ulsan Hyundai, maka Perak akan melangkah ke peringkat kumpulan dan bakal mengiringi juara bertahan Liga Super 2018, Johor Darul Ta’zim yang sudahpun menempah tempat di peringkat kumpulan.

Baca Juga: Ulsan Hyundai Menanti The Boss Gaurus

Leave a Reply