Sumber Gambar: Pahang FA

Pendahulu Liga Super 2019, pasukan Pahang mahu meneruskan rentak kemenangan apabila mereka bertandang ke Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Sabtu ini bagi menghadapi pasukan Melaka United.

Pada dua perlawanan pertama sebelum ini, Pahang berjaya mencatat kemenangan dimana mereka menewaskan pasukan Kuala Lumpur dengan keputusan 3-1 dan pasukan Terengganu FC dengan keputusan 3-0.

Pahang mahu mencatat kemenangan ketiga bagi mengekalkan rekod 100% serta kekal menerajui carta Liga dan pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli mahu memastikan benteng pertahanan pasukan tidak dibolosi dan menyekat segala asakan yang diberikan oleh pemain tuan rumah.

“Kejayaan mengekalkan gawang daripada dibolosi ketika menewaskan TFC memberikan semangat dan kekuatan kepada kami untuk terus beraksi pada prestasi terbaik.

“Biarpun lawan memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri, kami sudah membuktikan bahawa tiada yang mustahil untuk mengutip tiga mata di tempat lawan.

“Ia dibuktikan ketika kami menewaskan Kuala Lumpur di Cheras pada perlawanan pertama liga dan kunjungan ini lebih kepada merekodkan kemenangan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Tambah Faisal, rakan sepasukannya perlu memberikan perhatian yang lebih kepada ketua pasukan Melaka, Safiq Rahim dan rakannya di bahagian tengah, Liridon Krasniqi.

Kedua-dua pemain menampilkan satu persembahan yang baik ketika membantu Melaka United menewaskan Petaling Jaya City FC dan PKNS FC pada dua perlawanan pertama Liga.

“Sebagai pelawat, kami perlu memanfaatkan segala peluang yang ada dan ketajaman di bahagian serangan yang diketuai Dickson Nwakaeme diharap terus menjadi.

“Kemenangan juga penting untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga dan memberi semangat kepada kami untuk mempamerkan persembahan terbaik,” tambahnya.

Pasukan bimbingan Dollah Salleh ini jelas menjadi pilihan untuk membawa pulang tiga mata setelah mereka menampilkan satu persembahan yang cemerlang pada dua perlawanan sebelumnya. Kelibat Dickson Nwakaeme serta dua pemain sayap lincah, Saddil Ramdani dan Mohamadou Sumareh bakal menjadi senjata utama skuad Tok Gajah untuk menggempur Melaka United.

Selain kukuh di bahagian serangan, juara Piala FA 2018 ini juga kukuh di bahagian pertahanan dimana pemain import, Herold Goulon membentuk satu gandingan mantap bersama Muslim Ahmad.

Baca Juga: MFL Sedia Beri Keistimewaan

Leave a Reply