Sumber Gambar: FA Selangor

Pemain pertahanan import pasukan Selangor, Taylor Regan yakin pasukannya akan segera menemui rentak terbaik sekaligus mencatat tiga mata pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Taylor Regan ditemui ketika Majlis Deklarasi Integriti Pasukan Bola Sepak Selangor 2019 bersama Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di hotel Sunway Putra sebentar tadi.

Ketika ditanya mengenai prestasi pasukan pada dua perlawanan pertama, beliau berpendapat ia bukanlah satu prestasi yang ideal dan pasukan seharusnya mampu untuk mencatat kemenangan khususnya ketika bertemu Felda pada perlawanan pertama.

“Ianya tidak ideal. Sudah pasti kita mahu mencatat kemenangan dan mendapat mata penuh pada dua perlawanan pertama. Ketika menentang Felda kami mempunyai peluang untuk menjaringkan beberapa gol khususnya pada separuh masa pertama.

“Jika kita mampu untuk memenangi perlawanan pertama mungkin akan memberikan perbezaan yang ketara. Dua perlawanan sebelumnya tidak berakhir seperti yang kita mahukan. Terutamanya perlawanan menentang PJ City dimana padang becak dan perlawanan bertukar menjadi seperti pertarungan.

“Tapi tiada alasan untuk kami. Kami positif dan kami percaya pada kemampuan pasukan kami dan mampu untuk mencatat tiga mata pada perlawanan seterusnya,” kata Regan.

Bekas pemain import Negeri Sembilan ini juga memberikan komen mengenai pasangan beliau di bahagian pertahanan iaitu Michal Nguyen.

“Saya dan Michal adalah kawan baik. Kami mempunyai hubungan yang baik di luar dan juga di dalam padang. Dia seorang pemain yang bagus. Dia mahu belajar, mahu mendengar segala nasihat yang diberikan dan kami berdua mencipta satu gandingan yang baik di atas padang.

“Tetapi ianya bukan mengenai saya dan Michal saja. Ianya mengenai 24 pemain yang ada dalam pasukan. Semua pemain perlu memainkan peranan dan kami akan terus berjuang sehingga ke penghujung musim kerana anda tidak akan memenangi trofi di Malaysia pada Januari atau Februari tetapi pada November nanti,” tambahnya.

Pada perlawanan minggu ketiga Liga Super 2019, Selangor akan menghadapi pasukan PKNS FC di Stadium Shah Alam dan mereka perlu mencatat kemenangan bagi mengurangkan sedikit tekanan yang diberikan ke atas pasukan.

Baca Juga: Tiada Sentimen Peribadi – B.Sathianathan

Leave a Reply