Sumber Gambar: Perak TBG

Pemain tengah pasukan Perak, Brendan Gan menyeru rakan sepasukan untuk memberikan cabaran yang sengit kepada Ulsan Hyundai dalam perlawanan pusingan kelayakan ketiga saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Menurut Brendan, pemain Ulsan juga menghadapi situasi sama dengan pemain Perak iaitu beraksi dalam cuaca yang sejuk. Jadi, rakan sepasukan beliau sepatutnya mampu untuk memberikan cabaran kepada pasukan yang menduduki tangga ketiga saingan K League musim 2018 itu.

“Mereka juga menghadapi cuaca sejuk yang sama seperti kami. Jadi tiada bezanya.

“Mereka memang pasukan handalan tetapi itu tidak bererti Perak akan menyerah mudah. Kami mempunyai misi dan tanggungjawab menjaga maruah bola sepak Perak dan Malaysia,” katanya menurut laporan Stadium Astro.

Tambah bekas pemain Kelantan dan juga skuad kebangsaan ini, kejayaan menewaskan kelab dari Hong Kong, Kithcee FC menerusi sepakan penalti pada perlawanan pusingan kelayakan kedua nyata melonjakkan semangat pemain menjelang perlawanan pada esok.

“Kami melalui lebih 120 minit untuk mencapai kejayaan ke atas Kitchee dan kini berdepan satu lagi perlawanan sukar menentang Ulsan Hyundai.

“Apapun kami akan mencuba habis-habisan dan mempamerkan persembahan terbaik kami dalam perlawanan itu nanti.

“Saya berharap rakan sepasukan mempamer semangat juang kental yang menjadi ciri-ciri pasukan selama ini, “tambahnya.

Para pemain Ulsan Hyundai sudah pasti bakal memberikan cabaran yang besar kerana mereka juga memiliki misi yang sama iaitu mara ke peringkat kumpulan saingan ACL 2019.

Dua pemain Ulsan yang perlu diberikan oleh pemain Perak khususnya pemain di bahagian pertahanan ialah penyerang utama, Junior Negrao dan pemain tengah, Han Seung-gyu dimana kedua-dua pemain ini menjadi nadi utama pasukan musim lalu.

Junior Negrao berjaya menjaringkan 22 gol dalam saingan K League 1 manakala Seung-gyu pula berjaya mencipta 7 assist sepanjang saingan liga.

Jika berjaya menumpaskan Ulsan, maka Perak akan diletakkan dalam kumpulan E disamping kelab dari Australia, Sydney FC, juara J1 League 2018, Kawasaki Frontale dan juara Chinese Super League 2018, Shanghai SIPG.

Baca Juga: Mehmet Harap Pemain Sesuaikan Diri Dengan Cuaca

Leave a Reply