Sumber Gambar: The Star

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberikan tempoh 7 hari kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (FA) untuk membuat rayuan berhubung pembatalan penyertaan mereka dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan tempoh rayuan yang diberi itu adalah prosedur biasa selepas sebarang keputusan dibuat.

Namun, peluang PFA untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana dilihat tipis kerana situasi kewangan pasukan itu dilihat tidak mampu untuk menjamin pasukan terus beroperasi sehingga musim 2019 melabuhkan tirainya.

“Kami memberikan tempoh 7 hari kepada PFA walaupun kebiasaannya adalah 14 hari tempoh rayuan bagi urusan pentadbiran tetapi memandangkan ia satu kes serius, kami memberikan tujuh hari sahaja.

“Wakil PFA datang hari ini untuk lebih memahami apa yang dipertimbangkan dalam keputusan itu dan saya membuat penerangan yang mana mereka akan mengadakan mesyuarat bersama Exco PFA bagi mendapatkan tindakan susulan selepas mendapat penjelasan ini daripada MFL.

“Buat masa ini, MFL berharap apa-apa perancangan mereka di masa depan akan berjaya dan pemain akan mendapat pasukan baharu selepas MFL turut membuka ruang untuk mereka mendaftar bagi tempoh 30 hari,” kata Kevin menurut laporan Berita Harian.

Lembaga Pengarah MFL memutuskan untuk menyingkirkan pasukan Perlis dari saingan Liga Perdana musim ini kerana masalah kewangan serius yang dihadapi pasukan itu terutama selepas berdepan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Pada masa yang sama, Kevin turut menjelaskan tiada pasukan yang akan menggantikan Perlis, sama seperti ketika MFL menyingkirkan Kuantan FA daripada saingan Liga Perdana pada musim lalu akibat masalah yang sama.

“Jika mana-mana pasukan yang dikeluarkan, menurut keputusan yang sudah dibuat tahun lepas, kita tidak menggantikan (Kuantan FA). Kalau kita cuba menggantikan Perlis, bagaimana jika masalah sama berlaku ke atas pasukan pengganti itu.

“Apa yang saya nampak keputusan dibuat tahun lepas apabila Liga Perdana diteruskan dengan 11 pasukan dan tiada pasukan yang digantikan,” tambahnya.

Jika rayuan PFA ditolak, maka saingan Liga Perdana musim ini akan diteruskan dengan 11 pasukan bertanding.

Baca Juga: Penyokong Perlis Minta Presiden Letak Jawatan

Leave a Reply