Sumber Gambar: Goal.com

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan nyata kecewa dengan tahap disiplin yang ditunjukkan pemain pasukan itu ketika menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.

Menurut Bibi, meskipun pasukan Kelantan kini dikelola oleh pihak lain iaitu Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd, namun beliau berhak bersuara berkaitan masalah tersebut bagi kepentingan pihaknya dan juga pasukan Kelantan.

“Saya menerima maklumat disiplin pemain tidak memuaskan terutamanya ketika sesi latihan…ada pemain yang datang lewat dan tidak memberikan tumpuan kepada latihan.

“Tidak hairan jika prestasi pasukan tidak memuaskan pada perlawanan sebelum ini jika masalah ini ada dalam diri pemain,” katanya menurut Berita Harian.

Setakat empat perlawanan Liga Perdana 2019, Kelantan hanya mampu mengumpul empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri serta dua kekalahan. Pasukan bimbingan Marko Kraljevic kini menduduki tangga ke-8.

Tambah Bibi, walaupun KAFA tidak menguruskan pasukan Kelantan secara langsung, namun aspek disiplin pemain sepatutnya menjadi perkara utama yang perlu diberikan perhatian oleh KAFA.

“Banyak benda tidak memuaskan, jadi KRW perlu lebih mengambil berat berkaitan pasukan untuk menjaga masa depan KRW dan pasukan.

“Begitu dengan susun atur kerja perlu lebih kemas, bukan saya mahu mempertikaikan cara kerja mereka namun perlu lebih tersusun bagi memastikan masalah-masalah seperti disiplin dapat diatasi,” ujarnya.

Kata Bibi lagi, pemain Kelantan juga tidak seharusnya hanya tahu menuntut bayaran gaji tepat dengan tarikh pembayaran namun harus juga memikirkan sumbangan mereka kepada pasukan.

“Etika sebagai pemain tidak ada hanya tahu mahu gaji dibayar dengan elok tetapi apa sumbangan diberikan kepada penyokong dan pengurusan rasanya setakat ini balasan pemain tidak setimpal dengan kerja keras pihak pengurusan telah berikan.

“Jadi kedudukan pasukan ditentukan oleh pemain selain kerjasama daripada semua pihak,” katanya yang dilantik sebagai presiden KAFA pada akhir musim 2017.

Pada perlawanan minggu keenam Liga Perdana, Kelantan akan bertandang ke Shah Alam bagi menghadapi pasukan UiTM FC.

Baca Juga: Kuala Lumpur Semakin Tertekan

Leave a Reply