Tepat jam 6 petang nanti juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim akan turun menentang kelab gergasi dari J League, Kashima Antlers bagi saingan kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL). Pentas ACL dilihat sebagai medan terbaik untuk pemain JDT khususnya pemain muda untuk menyinar sekaligus menampilkan kemampuan sebenar mereka.

Kejayaan kelab milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim beraksi di peringkat tertinggi bagi kelab di rantau Asia ini sememangnya satu pencapaian yang membanggakan bukan sahaja untuk bola sepak negeri Johor tetapi untuk bola sepak Malaysia secara amnya.

Bagi menghadapi saingan sulung dalam sejarah pasukan, JDT telah membawa masuk pemain muda, Akhyar Rashid bagi digabungkan dengan beberapa pemain yang sebelumnya sudah menyertai pasukan seperti Safawi Rasid, Syamer Kutty Abbba, Haziq Nadzli dan Adam Nor Azlin.

Sesetengah daripada pemain muda yang penulis sebutkan diatas seperti Safawi dan Akhyar sudah membuktikan bahawa mereka mampu untuk beraksi dengan cemerlang dalam saingan liga domestik dan juga pasukan kebangsaan di peringkat Asia Tenggara.

Apa yang tinggal sekarang ialah mereka perlu membuktikan bahawa mereka mampu untuk menyinar di pentas yang lebih besar iaitu Asia sekaligus menambat hati mana-mana pasukan gergasi seperti pasukan dari Chinese Super League, J League atau K League datang mengetuk pintu dan menyatakan minat untuk mengambil khidmat mereka.

Jika pemain muda ini berjaya menempatkan diri dan beraksi di liga yang mempunyai kualiti lebih baik berbanding Liga Malaysia, pemain tersebut mempunyai peluang yang lebih cerah untuk meningkatkan mutu serta kualiti permainannya.

Selain itu, jika pemain negara beraksi di liga luar negara, ianya juga membuka pintu untuk lebih banyak pasukan datang ke Malaysia bagi mencari pemain muda berpotensi.

Sebelum ini bukannya kita tidak ada pemain yang beraksi di luar negara. Namun kebanyakkan daripada mereka bermain pada satu tempoh masa yang singkat dan peningkatan yang ditunjukkan pula tidak sebaik yang diharapkan.

Apa yang penting, pemain muda JDT ini mempunyai kesedaran dimana mereka patut menggunakan peluang ini sebagai pentas untuk memasarkan diri mereka.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Senaraikan Tujuh Muka Baharu

Leave a Reply