Sumber Gambar: Asiana.my

Ketua jurulatih pasukan Selangor, B.Sathianathan menyerahkan sepenuhnya nasib beliau sebagai pengendali pasukan kepada pihak pengurusan.

Menurut Sathia, penyokong berhak merasa marah dan tidak berpuas hati dengan prestasi semasa pasukan yang ketika ini berada dalam keadaan tidak menentu.

Namun, tegas bekas pengendali pasukan kebangsaan ini perkara tersebut tidak akan melunturkan semangat sebaliknya beliau mengambil perkara itu sebagai cabaran untuk mengembalikan keyakinan peminat.

“Saya tidak bimbang (situasi direhatkan atau dipecat) dalam bola sepak seorang jurulatih perlu terima apa-apa hakikat. Ba­nyak yang boleh bercakap tidak baik dan ada juga yang baik.

“Jika pengurusan sudah tidak perlukan khidmat saya, mereka boleh beritahu dan kita bincang. Saya ikut sahaja.

“Ini perkara biasa dalam bola sepak, terdapat penyokong yang mempunyai pendapat berbeza cuma yang negatif ramai sekarang kerana Selangor ber­ada dalam kedudukan seperti ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambah Sathia, apa yang perlu dilakukan ialah selagi beliau diberikan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih pasukan, beliau perlu menjalankan tugas sebaik mungkin untuk kembali mendapat sokongan penyokong Red Giants.

Bekas ketua jurulatih Kelantan, Felda United dan ATM ini juga sedar tugas berat bakal menanti beliau sebaik sahaja menerima jawatan membimbing Selangor yang penuh dengan sejarah kegemilangan dalam kancah bola sepak Malaysia.

“Tugas saya dapatkan balik sokongan daripada penyokong tetapi paling penting kepercayaan dari pemain dan pengurusan.

“Saya pun tahu, Selangor pasukan besar dan mempunyai sejarah.

“Itu sejarah masih lagi sejarah dan kalau kita lihat pasukan yang betul-betul berada dalam keadaan stabil adalah pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pahang.

“Perak juara dan Terengganu finalis Piala Malaysia, turut berada di kedudukan tidak baik. De­ngan banyak pertukaran pemain saya memerlukan masa,” ujarnya.

Selangor bakal menghadapi seteru Lembah Kelang iaitu pasukan Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Super 2019 minggu keenam dan mereka perlu mencipta kemenangan bagi meredekan sedikit tekanan yang dihadapi oleh bukan saja Sathia tetapi para pemain.

Baca Juga: FAS Nafi B.Sathianathan Digantikan

Leave a Reply