Sumber Gambar: FA Penang

Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengambil keputusan untuk merehatkan ketua jurulatih pasukan, Ahmad Yusoff susulan prestasi hambar yang ditunjukkan skuad Harimau Kumbang dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Perkara ini diumumkan oleh Presiden FAP, Dr Amar Pritpal Abdullah menerusi satu kenyataan di media sosial rasmi pasukan pada semalam.

Dr. Amar telah mempengerusikan satu mesyuarat khas dimana mereka membincangkan prestasi semasa pasukan Pulau Pinang dalam kancah Liga Perdana. Pengurusan pasukan kemudiannya mengambil keputusan untuk merehatkan Yusoff.

“Pihak pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) telah mengadakan satu mesyuarat khas tengahari tadi bagi membincangkan prestasi semasa pasukan Liga Premier Pulau Pinang dan telah sebulat suara bersetuju membuat keputusan bahawa Ketua Jurulatih, Haji Ahmad Yusoff DIREHATKAN serta merta.

“Keputusan drastik ini diambil setelah menilai kesemua aspek prestasi semasa dan demi memperbaiki cabaran pasukan di dalam baki saingan Liga Premier 2019.

“Haji Ahmad Yusoff telah dimaklumkan berkenaan keputusan ini,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Pulau Pinang hanya mampu mengutip empat mata hasil daripada satu kemenangan dan satu keputusan seri untuk menghuni kedudukan kesembilan liga. Satu prestasi yang membimbangkan kerana mereka dicanang untuk membuat kebangkitan semula setelah diolah oleh pengurusan baharu dan juga barisan kejurulatihan yang baru.

Keputusan FAP untuk merehatkan bekas pengendali Terengganu ini menjadikan Ahmad Yusoff jurulatih ketiga yang direhatkan setelah Mohd Fauzi Pilus (PDRM) Mohd Farhan Abdullah (Sarawak) turut berdepan dengan tindakan sama.

Pada perlawanan Liga Perdana minggu keenam, Pulau Pinang akan turun menentang pasukan Selangor United dan mereka perlu mencatat keputusan positif sekiranya mahu meredekan sedikit tekanan yang dihadapi pasukan ketika ini dan memperbaiki kedudukan dalam carta Liga.

Baca Juga: Tan Cheng Hoe Senaraikan Tujuh Muka Baharu

Leave a Reply