Sumber Gambar: Stadium Astro

Syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) telah mencapai kata sepakat berhubung isu pertindihan tugas berkaitan menguruskan pasukan antara kedua-dua pihak yang wujud sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn. Bhd Ahmad Fazli Mohammad berkata, beliau menyambut baik kata sepakat yang dicapai itu ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan di Bangsar, Kuala Lumpur pada semalam.

Menurut Fadzli, keputusan tersebut dijangka akan melancarkan gerak kerja pihaknya dalam menguruskan pasukan bola sepak Kelantan yang terdiri daripada skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan Belia bagi musim 2019.

“Insya-Allah selepas ini, kita akan dapat lihat The Red Warriors (TRW) kembali ke landasan sebenar sebagaimana perancangan yang telah dibuat.

“Kami di KRW telah menyediakan satu kerangka perancangan untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Kelantan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Pada masa yang sama, Fazli memberitahu peminat setia pasukan agar bersabar dan memberi ruang kepada KRW Sdn. Bhd untuk menterjemahkan gerak kerja mereka bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan.

Katanya, sokongan padu amat diperlukan oleh KRW Sdn Bhd bagi memastikan semua perancangan yang sudah disusun berjalan mengikut jadual.

“Menguruskan pasukan bola sepak bukan semudah menyiapkan ‘mee segera’ yang kita boleh main campak sahaja.

“Kita perlukan satu perancangan jangka panjang bagi memastikan hasil yang akan dituai itu memberikan pulangan lumayan dalam erti kata kejayaan merangkul kejuaraan,” ujarnya.

Selain menguruskan pasukan, KRW Sdn Bhd juga akan menyelesaikan hutang lapuk yang dihadapi oleh KAFA sejak tiga tahun kebelakangan ini. Krisis hutang yang dihadapi oleh KAFA nyata memberi kesan terhadap pasukan sehingga membuatkan mereka kehilangan tempat dalam Liga Super dan terpaksa beraksi dalam saingan Liga Perdana.

Prestasi pasukan dalam saingan Liga Perdana musim ini sedikit tidak menentu dimana mereka menghuni tangga ke-8 dengan kutipan 4 mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.

Baca Juga: Hutang Lapuk KAFA Ditanggung Pengurusan Baru

Leave a Reply