Sumber Gambar: MFL

Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan mereka perlu membuat keputusan secara adil dan tida terburu-buru terhadap tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji serta kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan selewat-lewatnya, 15 Mac depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, selain perlu bersikap adil dan tidak mengambil langkah terburu-buru, pihaknya juga mesti meneliti dokumen-dokumen yang diberikan oleh pengurusan pasukan.

“Apabila kita buat keputusan tanpa bersua muka, prosesnya menjadi agak panjang untuk mendapatkan keputusan muktamad terutama sekali apabila banyak dokumen perlu diberikan perhatian oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Jadi, kita perlu memberikan mereka ruang dan masa sebelum meminta apa-apa keputusan di mana keputusan ini boleh dibuat satu per satu dan bukannya secara berkelompok.

“Jika belum ada sebarang keputusan sebelum 15 Mac ini, ia akan dibuat dalam satu pertemuan Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac.

“Dalam pertemuan itu, saya jangka kita boleh mencapai keputusan dalam masa yang lebih singkat,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Pada masa yang sama, Kevin menegaskan tiada pasukan yang terlepas daripada hukuman jika mereka melanggar peraturan biarpun memuji ada beberapa pasukan yang serius menangani masalah terutama melibatkan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai.

“Ada yang telah mengambil langkah-langkah baik untuk menyelesaikan tunggakan gaji sedia ada antaranya secara penuh atau ansuran tetapi kita perlu memuji bahawa ada pasukan yang memandang serius dalam isu ini.

“Namun, satu keputusan perlu dibuat atas kegagalan mereka (lewat) waktu pendaftaran itu. Walaupun, usaha baik telah dilakukan mungkin hukuman yang lebih berat dapat dielakkan tetapi mereka tetap melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Jadi, kita tidak boleh mengatakan jika mereka telah melunaskan bayaran tunggakan, tiada apa-apa (hukuman). Kita kena ingat tarikh pendaftaran yang diberikan adalah tarikh yang munasabah dan bukan perkara yang susah dilakukan jika pasukan dapat menguruskan pendaftaran dengan baik selain isu tunggakan gaji,” jelasnya.

Baca Juga: AirAsia Menjadi Syarikat Penerbangan Rasmi Liga Malaysia

Leave a Reply